19 Jun 2008

Mahkamah putus kerusi DUN Sanglang dikosongkan

KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, dikosongkan selepas mahkamah menerima permohonan petisyen yang dikemukakan bekas calon pilihan raya Pas bagi kerusi berkenaan.

Keputusan itu bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan untuk memilih wakil rakyat baru kawasan DUN berkenaan.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membuat keputusan itu bagaimanapun menolak permohonan bekas calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin supaya mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi kawasan berkenaan.

Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian sudah dimansuhkan pada 2003.

Mahkamah bagaimanapun meyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan bila pilihan raya kecil akan diadakan.

Sebelum ini, ADUN Sanglang, Abdullah Hassan, dari BN memohon supaya mahkamah memerintahkan pilihan raya semula bagi menyelesaikan pertikaian itu manakala Hashim pula mahu beliau diisytiharkan menang.

Hashim diwakili peguam Mohamad Ariff Yusof mengemukakan petisyen pilihan raya mencabar keputusan pilihan raya DUN berkenaan yang diadakan pada 8 Mac lalu dengan asas berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi.

Hashim tewas kepada Abdullah dengan perbezaan 149 undi.

Abdullah diwakili peguam K Jegathesan.

Tiada ulasan: