16 Julai 2008

Munajat Rakyat di Stadium Perak

SLIM RIVER, 15 Julai : - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak yang baru melepasi 100 hari pemerintahanya skali lagi cuba digugat oleh pihak tertentu berikutan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Dato' Tajol Rosli Ghazali, yang menyatakan Kerajaan Pakatan Negeri ini akan tumbang sebelum 31 Ogos ini.

Sehubungan itu Dewan Ulama PAS Negeri Perak menganjurkan majlis Munajat Rakyat pada 17 Julai ini di Stadium Perak untuk memohon pertolongan Allah bagi menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri ini daripada sebarang bentuk perancangan jahat oleh musuh-musuh Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Dewan Ulama PAS Negeri, Ustaz Zulqarnain Hassan dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah hari ini.

Menurut beliau, setiap ahli dan penyokong PAS diminta datang seramai mungkin ke majlis Munajat Rakyat di Stadium Perak pada hari Khamis ini.

"Program ini juga melibatkan seluruh PAS kawasan serta dewan sempena mengambil keberkatan 14 Rejab 1429, pada hari itu seluruh ahli dan penyokong PAS di minta berpuasa," ujarnya.

Majlis tersebut bermula jam 7.00 malam dan majlis berbuka puasa diadakan di Stadium tersebut dan orang ramai diminta membawa makanan sendiri untuk tujuan tersebut.
Selepas selesai solat maghrib, diadakan pula solat hajat, disusuli dengan tazkirah daripada Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Shuid Din.

"Munajat Rakyat akan kita jalankan selepas menunaikan solat isya', dikuti dengan ceramah perdana daripada Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin," katanya.

Beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong dan orang ramai supaya mengambil bahagian pada majlis Munajat Rakyat sebagai bukti keprihatinan mereka terhadap sebarang unsur dan perancangan jahat pihak tertentu yang mahu Kerajaan Pakatan Rakyat tumbang di negeri ini. -

Tiada ulasan: