Maksud firman Allah SWT: “Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” Al-Anfal:62.
Jerit pekik dan suasana gempar berlaku di kediaman mantan Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir, Ipoh pada malam 8 Mac 2008. Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli dan isterinya Datin Seri Kamariah di antara mereka yang seperti sesak nafas apabila keputusan PRU Ke-12 yang diumumkan menunjukkan UMNO/BN hanya memenangi 28 kerusi DUN Perak, manakala selebihnya 31 kerusi dimenangi oleh parti-parti pembangkang PAS-PKR-DAP.
Pada waktu yang sama di ibupejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak di Jalan Medan Istana 2, Ipoh Raya, kami pimpinan PAS dan PKR (BA) berunding untuk menimbangkan tawaran DAP bagi membentuk kerajaan campuran. Akhirnya kira-kira jam 2 pagi (9 Mac), kami berenam dari pimpinan PAS, PKR dan DAP membuat sidang media di ibupejabat DAP (yang terletak kira-kira hanya 100 meter jaraknya dari ibupejabat PAS) dan mengumumkan persetujuan bersepakat membentuk kerajaan campuran di antara ketiga-tiga parti yang kami namakan pada ketika itu Barisan Rakyat (kini dinamakan Pakatan Rakyat).
UMNO tidak sanggup menerima kekalahan kerana parti itu memenangi hanya 27 kerusi dari 35 kerusi yang mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu menentang PAS dan PKR. Bermula dari saat itu UMNO berusaha dengan begitu yakin untuk membentuk kerajaan melalui pelbagai cara dan pendekatan. Pada mulanya mereka menawarkan puluh jutaan ringgit kepada beberapa orang ADUN PAS supaya melompat parti dan menyebelahi mereka. Orang yang pertama mendapat tawaran rasuah itu ialah ADUN Pasir Panjang yang menjadi menjadi Menteri Besar Perak sekarang., mereka mengajak PAS Perak membentuk kerajaan campuran dengan UMNO/BN.
Pelbagai pihak digunakan sebagai agen mereka menemui saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak. Bahkan ada agen mereka yang menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka gunakan beberapa orang mufti, pegawai tinggi kerajaan negeri, pertubuhan NGO dan seorang ADUN BN yang ada hubungan keluarga dengan saya. Namun Tajol Rosli sendiri tidak sanggup berhubung terus dengan saya walaupun saya ada dijemput untuk bersemuka dengan beliau.
Tajol Rosli terus berbincang bersama pimpinan UMNO untuk memujuk PAS walaupun pada kira-kira jam 4 petang 10 Mac kami pimpinan dari ketiga-tiga parti Pakatan telah diterima mengadap oleh DYTM Raja Muda Tuanku Raja Nazrin Shah di Istana Kinta. Saya selaku ketua rombongan pakatan kemudiannya mengadakan sidang media di ibupejabat PAS selepas selesai mengadap DYTM Raja Muda. Turut hadir ialah YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS. Dalam sidang media itu saya menjelaskan bahawa sekiranya Menteri Besar Perak dilantik dari pimpinan PAS, maka ia bukanlah kerajaan PAS, begitu juga sebaliknya. Yang paling penting bahawa kerajaan campuran yang akan dibentuk adalah mengikut perlembagaan negeri Perak. YB Dato’ Husam juga turut memberikan penjelasan mengapa PAS bersepakat membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan