27 September 2008

Abdullah dijangka PM hingga Mei, Najib tersepit

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini dihebohkan sebagai merupakan usaha terakhir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyambung hayat jawatannya sebagai Perdana Menteri manakala timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan berada dalam keadaan tersepit.

Menurut seorang blogger Umno, A Voice (anotherbrickinwall.blogspot.com), mesyuarat khas MT itu dijangka akan mempersetujui penangguhan perhimpunan agung (PAU) dan pemilihan kepimpinan Umno yang sepatutnya diadakan Disember ini akan ditangguhkan.

Perhimpunan itu dijangka akan ditangguhkan kepada 9 Mei akan datang. Dengan itu, kata A Voice, Abdullah akan kekal memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sehingga tarikh itu.

Perancangan Abdullah dijangka dapat dilaksanakan kerana, menurut blogger penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad itu, suara-suara yang menentang tidak dapat hadhir kerana pelbagai sebab.

Bagaimanapun, pertemuan beberapa Ketua Perhubungan Umno negeri baru-baru ini sudah memutuskan untuk meneruskan mesyuarat dan pemilihan di peringkat bahagian-bahagian.

"Jika jadi, ini adalah satu keanihan kerana sesyuarat Bahagian Umno akan dikekalkan mengikut jadual yang ditetapkan bermula pada 9 Oktober hingga ke 9 November.

"Dengan tertangguhnya tarikh PAU ke 9 Mei 2009, ini bermakna persidangan tersebut diadakan 6 bulan selepas berakhir mesyuarat Bahagian Umno," katanya.

Sumber: http://www.harakahdaily.net

Tiada ulasan: