27 September 2008

Kejayaan Kapal Angkasa Lepas "Shenzhou VII" Menjadi Pemangkin bagi Pembangunan China

Kapal Angkasa Lepas "Shenzhou VII" yang membawa 3 orang angkasawan telah dilancarkan dengan jayanya malam ini. Beberapa hari berikutnya, angkasawan tersebut akan "berjalan-jalan" di luar kapsul dan menjalani ujian sains yang ditetapkan untuk membuat persiapan bagi membina stesen angkasa pada masa depan. Kejayaan pelancaran kapal angkasa lepas "Shenzhou VII" ini bukan sahaja akan menggalakkan kemajuan dan kecanggihan teknologi China, malah akan mendorong usaha untuk menghasilkan ciptaan harta intelek sendiri.

China telah banyak mencapai hasil yang cukup cemerlang dalam penerokaan angkasa lepas sejak kapal angkasa lepas "Shenzhou I" dilancarkan. Ini telah memberikan kesan yang besar kepada pola sains dan teknologi dunia. Penjelajahan manusia ke angkasa lepas merupakan satu cabaran bagi sesebuah negara dari segi kekuatan bersepadu dan tahap teknologi. Hasil-hasil yang dicapai oleh China dalam bidang tersebut, seperti yang dipuji oleh badan media dari dalam dan luar negara, telah memperlihatkan imej China dan kekuatan negara yang semakin meningkat.

China mengadakan penerokaan manusia ke angkasa lepas dengan mempertimbangkan dari sudut sains dan teknologi serta kepentingan ekonomi. Pereka Roket "Long March 2F" yang digunakan untuk melancarkan "Shenzhou VII" ini, Jing Muchun menyatakan: "Penerokaan manusia ke angkasa lepas menjadi pemangkin bagi negara kami untuk membangunkan perindustrian asas serta menghasilkan bahan mentah dan komponen berkenaan. Sesetengah produk berhubung angkasa lepas sudah diperkenalkan ke dalam industri kegunaan awam."

Sebagai contoh, kebanyakan barang kegunaan harian dihasilkan dengan teknologi penerbangan angkasa lepas manusia, seperti robot pembedah, sistem pengurusan air dan pakaian renang. Di samping itu, sektor perubatan, farmasi, penerbangan, bahan baru, elektronik, pembuatan mesin, tekstil dan telekomunikasi pula akan ditawarkan peluang pembangunan ekoran kejayaan "Shenzhou VII" ini. Pakar dalam bidang berkenaan menganggap bahawa rangkaian industri angkasa lepasa China telah mencapai skala ekonomi sebanyak 120 bilion yuan RMB.

Ruang angkasa yang cukup luas dan penuh misteri telah menarik manusia untuk menerokanya. Kejayaan kapal angkasa lepas Shenzhou merupakan pencapaian bersama umat manusia. Menurut Zhou Jianping, pereka kapal angkasa lepas itu, "Shenzhou VII" merupakan kepunyaan semua orang yang terlibat dalam bidang pengajian angkasa lepas China dan rakyat China, malah semua umat manusia.

Tiada ulasan: