18 November 2008

Kelebihan etnik bagi Khalil

SEBAGAI wakil rakyat berbangsa Cina yang mewakili Pas, Ahli Dewan Undangan negeri Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah, memiliki kelebihan tambahan untuk bergaul baik dengan pengundi bukan Melayu.

Dengan memeluk Islam 22 tahun lalu, Khalil yang fasih bertutur bahasa Mandarin, menggunakan kelebihan berbahasa itu dan latar belakang budayanya untuk menarik perhatian kaum bukan Melayu, terutama Cina kepada Pas.

Beliau berkata, walaupun Pas menang kerusi itu pada pilihanraya umum 8 Mac lalu, usaha masih perlu dilakukan bagi meningkatkan tahap penerimaan dan kefahaman di kalangan kaum bukan Melayu terhadap idealogi politik parti.

Walalupun kecil dalam bilangannya, beliau berkata, sokongan pengundi Cina dan India adalah penting memandangkan undi mereka membolehkannya meraih kemenangan.

Wakil rakyat berusia 44 tahun itu berkata, memenangi sokongan mereka juga penting bagi memastikan usaha seterusnya dapat dilaksanakan oleh kepimpinan parti supaya Pas boleh diterima baik oleh rakyat bukan Islam dan bukan Melayu.

Khalil juga berazam untuk mengembalikan semula kegemilangan daerah Kerian sebagai pusat pembelajaran Islam seperti yang berlaku pada 1970an dengan kehadiran banyak sekolah pondok.

Bagi mencapai hasrat itu, beliau kini sibuk mengenalpasti tapak sesuai bagi tujuan pembinaan sekolah pondok di daerah terbabit.

Sebagai usahanya dalam mempromosikan cara hidup Islam, beliau juga melantik pegawai khas untuk memantau program di masjid dan surau bagi menambah bilangan jemaah di kedua-dua rumah ibadat bagi umat Islam itu.

Prihatin dengan kekurangan calon berlayakan bagi mengisi jawatan imam, beliau berkata, permohonan sudah dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam untuk mencari jalan dengan melatih dan menggalakkan generasi muda mengambil alih tugas itu daripada imam yang sudah uzur.

Bercakap kepada Perak News Online baru-baru ini, bekas guru itu berkata, beliau juga baru membuka pusat khidmat Adun di Taman Wawasan Jaya, dekat Parit Buntar.

Bagi membasmi kemiskinan di Titi Serong, Khalil menunjukkan beliau begitu bersungguh-sungguh dalam perkara itu dengan menubuhkan yayasan khas untuk menjaga kebajikan ibu tunggal yang tua, sakit dan terbiar.

Beliau juga berusaha gigih dengan memperkenalkan strategi bagi membantu rakyat miskin tegar memulakan perniagaan kecil-kecilan dan memastikan mereka yang tinggal dalam rumah yang uzur mendapat bantuan kewangan untuk membaiki rumah.

Mengenai pembangunan sosial, beliau bercadang untuk mengaktifkan semula semua badan bukan kerajaan (NGOS) tempatan di Titi Serong dan menggalakkan penyertaan golongan belia dalam khidmat komuniti bagi mengelak mereka terjebak dalam aktiviti negatif.

Menyentuh isu lain, wakil rakyat itu berkata, masalah banjir kilat di Taman Setiawangsa dijangka dapat diatasi tidak lama lagi kerana kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi memperbaiki sistem perparitan di situ.

Katanya, beliau juga sedang berusaha mendapatkan campurtangan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah sistem letak kereta yang dipraktikkan oleh Majlis Daerah Kerian.

Tindakan Majlis Daerah katanya, menimbulkan kemarahan rakyat kerana mengenakan bayaran letak kereta kepada pengguna di Parit Buntar tetapi pada masa sama membenarkan pengguna di Bagan Serai meletak kereta secara percuma.

Sementara itu, pesara, Ahmad Tajuddin Hawari, 69, dari Taman Kerian, berkata Pas perlu memenuhi janji yang ditetapkan pada manifesto pilihanraya iaitu mewujudkan negeri kebajikan dan memastikan rakyat miskin dan kurang bernasib baik menerima bantuan sewajarnya.

Beliau berkata, kemampuan kerajaan negeri untuk memenuhi janji itu akan membuktikan Pakatan Rakyat yang menerajui Perak sememangnya meletakkan kebajikan rakyat sebagai perkara utama dalam pemerintahannya.cinaislam