27 November 2008

Menteri Besar Perak prihatin dengan mangsa banjir di Sungai Siput.

SUNGAI SIPUT, 27 Nov :- Mangsa banjir dibeberapa kawasan petempatan di Daerah Sungai Siput mendapat perhatian serius dari YAB Menteri Besar Perak apabila beliau menghantar wakilnya untuk meninjau dan memberi sedikit bantuan kepada 28 keluarga mangsa yang terlibat.

"Saya sampaikan salam dari YAB Menteri Besar dengan lafaz 'assalamualaikum' kepada semua mangsa yang terlibat, YAB Menteri Besar walaupun pada petang tadi berada di Pusat Ternak Sungai Siput merasmikan AgroFest namun beliau terpaksa bergegas balik ke Ipoh menghadiri program yang diatur terlebih dahulu, dan beliau memohon maaf kerana tidak dapat bersama dengan tuan-tuan pada malam ini " demikian antara ucapan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Drs. Khalil Idham Lim yang mewakili YAB Menteri Besar semasa menemui 15 keluarga mangsa yang dari PPRT Lintang yang ditempatkan di Pusat Perpindahan Kg. Tok Siraj.

Drs. Khalil menyampaikan Bantuan Kerajaan Negeri kepada mangsa di Kg. Tok Siraj.



Dalam ucapannya juga beliau menyatakan keperihatinan kerajaan negeri kepada mangsa banjir tersebut dan memohon semua mangsa bersabar dengan ujian tersebut.

"Sepatutnya orang Sungai Siput berseronok pergi ke AgroFest yang diadakan di sini namun tuan-tuan diberikan ujian oleh Allah, namun saya mengharapkan gunakan peluang yang ada semasa dipusat perpindahan untuk meningkatkan ukhuwah Islamiyah sesama kita" saran Drs. Khalil.


Drs. Khalil menghiburkan salah satu keluarga mangsa.



Lawatan itu diiringi oleh Rombongan PAS Kawasan Sungai Siput yang diketui YDPnya , Ust. Zulkifli Ahmad, Penghulu Mukim Pulau Kemiri, Ahmad Nizar Abdul Aziz, Ketua Kampung Makmur, Meor Ariffin , Ketua Kampung Lasah, Nordin Mat Yassin dan rombongan yang lain.

Bantuan juga diberikan kepada 6 keluarga di Kampung Makmur yang rumah mereka telah hampir 2 hari ditenggelami air.

Lawatan berakhir dengan lawatan ke Pusat Perpindahan di Dewan Orang Ramai Kg. Lasah dengan jumlah mangsa yang telah dipindahkan dari Kg Chior sebanyak 4 keluarga. Semasa memberikan taklimat ringkas Penghulu Mukim Pulau Kemiri memaklumkan masih ada 3 keluarga yang sedang diusahakan untuk dipindahkan ke pusat perpindahan itu.

Dimaklumkan juga pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Kangsar juga telah datang memberikan bantuan berupa makanan kepada semua mangsa yang terlibat.

Seorang penduduk setempat yang ditemui memohon dari Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku sejak akhir-akhir ini, dakwanya keadaan ini berlaku akibat dari kegiatan pembalakan haram suatu masa dulu yang mengakibatkan hakisan teruk dan menyebabkan banyak sungai yang tertimbus.

Ketua Kampung Makmur, Meor Ariffin memberi maklumat bahawa sungai yang berada disekitar Lintang sangat kaya dengan pasir sungai yang tinggi nilainya. "setahu saya pada masa ini ada 3 syarikat yang sedang mengusahakan mengambil pasir tersebut yang saya tidak jelas statusnya" jelasnya.