14 November 2008

Wujudkan agensi penggalak pelaburan

IPOH, 13 Nov :- Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri atas penglibatannya yang agresif serta komitmen yang tinggi untuk memajukan bidang teknologi maklumat (ICT) di Negeri Perak.

Menurutnya, komitmen ini mesti disertai dengan usaha yang beramanah, bersungguh-sungguh serta mampu mencorak sebuah gerakan ekonomi yang mampan dan bersepadu.

"Kita berharap pelaburan Perak Hi Tech Park (PHTP) dapat dipacu sebaik mungkin untuk mencapai sebuah negeri maju menjelang 2015," katanya.

Rakyat katanya, mengharapkan projek ini bukan hanya memberi kesan pembangunan kepada kawasan dan syarikat yang terlibat sahaja. Malah ia seharusnya memberikan kesan yang lebih menyeluruh kepada syarikat kecil dalam negeri dan melebar manfaatnya kepada seluruh kawasan dan rakyat Negeri Perak.

"Harapan kita juga pelaburan sebanyak RM399.2 juta yang diperuntukkan bagi menjana pembanggunan 'Bandar Cyber' di MSC Meru Raya benar-benar akan memberi kesan makro dan mikro kepada ekonomi setempat khusnya dan keseluruhan Negeri Perak amnya," jelasnya.

Ia bersesuaian dengan konsep "wealth distribution" dengan izin, yakni pengagihan kekayaan yang seimbang dan saksama untuk seluruh rakyat negeri Perak.

Mengenai KDNK, dengan unjuran KDNK di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri Perak berligar pada 5 peratus pada 2008 dan akan menguncup kepada 4 peratus pada 2009 besesuaian dengan keadaan ekonomi global, beliau pasti kerajaan negeri akan memastikan bahawa kadar pelaburan dalam negeri akan terus meningkat dengan perancangan yang strategik bagi meningkatkan ekonomi negeri Perak.

Kerajaan Negeri katanya, mestilah memberi lebih banyak galakkan dan insentif pelaburan kepada pelabur dalaman dan luaran.

Oleh itu karenah birokrasi yang sering menjadi penghalang kepada pelabur untuk melabur di Negeri Perak harus dikurangkan bersesuaian dengan menjaga hal kepentingan kerajaan.

"Di sini saya mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa dan agensi penggalak pelaburan yang lebih efisyen ditubuhkan agar lebih bersungguh-sungguh bagi mencapai hasrat tersebut," katanya.

harakahdaily.