18 Januari 2009

Pengundian bermula 8 pagi, warga Kuala Terengganu keluar mengundi

KUALA TERENGGANU: Warga Kuala Terengganu mula melangkah ke pusat-pusat mengundi untuk memilih ahli Parlimen yang baru pagi ini.

Proses pengundian bermula pukul 8 pagi ini dan akan ditutup pukul 5 petang.

Pilihan raya kecil ini yang dilihat sengit dan disifatkan sebagai sangat penting untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menyaksikan persaingan tiga penjuru. Persaingan itu membabitkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari BN, Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) dan Azharudin Mamat @ Adam (Bebas).

Daripada 80,229 pemilih yang layak mengundi kali ini, seramai 1,035 merupakan pengundi pos di mana kira-kira 96 peratus telah pun mengundi.

Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di bahagian ini adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Calon BN, Wan Ahmad Farid akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar manakala calon PAS, Mohd. Abdul Wahid mengundi di Sekolah Kebangsaan Cabang Tiga.

Wan Ahmad Farid ketika dihubungi pada pukul 7.45 pagi ini selepas menziarahi pusara ibu bapanya dengan diiringi isterinya, Datin Intan Baizura Abdul Wahab di Masjid Raja Bukit Besar berkata beliau yakin penyokong-penyokongnya akan keluar mengundi seramai yang mungkin.

"Yang penting mereka mengundi untuk BN," katanya.

Beliau kemudian menuju ke pusat pengundian yang terletak beberapa meter dari masjid tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Abdul Wahid ketika dihubungi mStar Online berkata, sokongan untuk PAS dan Pakatan Rakyat memberangsangkan namun bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pengundi-pengundi untuk membuat keputusan.

"Saya gembira dengan sokongan yang mereka berikan kepada saya, dan saya harap ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi," katanya.

Bagaimanapun Azharudin tidak mengundi di Bahagian Kuala Terengganu kali ini.

Beliau mendaftar sebagai pengundi luar Kuala Terengganu.

Wan Ahmad Farid memasukkan kertas undi tepat pada pukul 8.07 minit pagi.

"Saya gembira," kata beliau ketika ditanya perasaannya sejurus selepas keluar dari Saluran Tiga, tempat beliau mengundi.

Dalam pada itu, Mohd Abdul Wahid merupakan pengundi pertama mengundi di Saluran Tiga Sekolah Rendah Kebangsaan Cabang Tiga.

"Saya berharap pengundi matang dan mereka akan memberikan saya peluang (menjadi ahli Parlimen).

"Saya bekerja untuk menang... menang atau kalah kita tunggu sehingga petang," katanya ketika ditemui selepas mengundi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam diiringi oleh isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, proses pengundian setengah jam pertama berjalan dengan lancar.

"Laporan awal menunjukkan tiada sebarang masalah sepanjang setengah jam selepas proses pengundian dibuka," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.-mstar