18 Februari 2009

Mohd Abdul Wahid angkat sumpah anggota parlimen

KUALA LUMPUR 17 Feb. :— Anggota Parlimen Kuala Terengganu yang baru Mohd Abdul Wahid Endut hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mohd Abdul Wahid, 52, berpakaian baju Melayu berwarna gelap lengkap bersongkok, turut menerima kata-kata nasihat daripada Pandikar Amin, yang mahukan memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah kepada Dewan dan negara serta dapat berkhidmat dengan cemerlang.

Wakil rakyat dari PAS itu memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti sebanyak 2,631 undi pada 17 Jan lepas.

Beliau memperoleh 32,883 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meraih 30,252 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail di Institut Aminudin Baki, Genting Highlands pada 28 Nov tahun lepas.

Sementara itu, Pandikar Amin turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Roslan Shaharum, Anggota Parlimen Bukit Gantang dari PAS yang meninggal dunia pada 9 Feb akibat diserang sakit jantung.

Beliau meminta anggota Dewan beragama Islam menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham manakala yang bukan beragama Islam bertafakur selama seminit, sejurus selepas upacara mengangkat sumpah itu. — Bernama

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Takbir! ... ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR!
bertambah sorang lagi Ahmadinnejad Malaysia di Dewan Rakyat!

Budak Perak berkata...

YB hj MAWE ni hebat b'hujah...
kat DUN terengganu ari2 ak tg0k kene hentam ADUN BN.
HARAP DITERUSKN KE PARLIMEN.

Unknown berkata...

nampak slumber,tp tip top!~ huhu