18 Februari 2009

Wahid angkat sumpah.

KUALA LUMPUR, 17 Feb :- Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru, Mohd Abdul Wahid Endut hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mohd. Abdul Wahid, 52, berpakaian baju Melayu berwarna gelap lengkap bersongkok, turut menerima kata-kata nasihat daripada Pandikar Amin, yang mahukan memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah kepada Dewan dan negara serta dapat berkhidmat dengan cemerlang.

Wakil rakyat dari PAS itu memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti sebanyak 2,631 undi pada 17 Januari lepas.

Beliau memperoleh 32,883 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meraih 30,252 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail di Institut Aminudin Baki, Genting Highlands pada 28 November lepas.

Sementara itu, Pandikar Amin turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Roslan Shaharum, Anggota Parlimen Bukit Gantang dari PAS yang meninggal dunia pada 9 Februari akibat diserang sakit jantung.

Beliau meminta anggota Dewan beragama Islam menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham manakala yang bukan beragama Islam bertafakur selama seminit, sejurus selepas upacara mengangkat sumpah itu.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!
Tahniah!! Semoga beliau dapat bertugas dgn cemerlang sbg mana yang dilakukan di DUN Terengganu sebelum ini.

fikrah islamiah berkata...

Tahniah YB, tunjukkan peribadi yang baik, bawa isu dengan baik agar dapat diterima oleh semua pihak.

daLyaanoon berkata...

Tahniah YB...
malangnya rakyat KT tak bleh tgk live kat tibisatu!