05 Februari 2009

Nizar: Saya tidak perlu letak jawatan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata tiada sebab bagi beliau untuk meletakkan jawatan seperti yang disarankan oleh pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, beliau masih menjadi ketua kerajaan negeri sehinggalah Sultan Perak membubarkan dewan undangan negeri.

Ataupun, katanya, BN perlu mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya untuk memaksa beliau meletakkan jawatan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh malam tadi, Mohd Nizar berkata saranan Najib yang juga timbalan perdana menteri itu, tidak mencerminkan apa yang terkandung dalam perlembagaan negeri Perak.


Menurut perlembagaan Perak, kata Mohd Nizar, Pakatan masih merupakan sebuah kerajaan yang sah kecuali dewan undangan negeri bersidang untuk meluluskan undi tidak percaya atau jika kerajaan Pakatan meletak jawatan.

Beliau mengingatkan bahawa proses menukar kerajaan "tidak sama seperti menukar 'arung kopi".

Mohd Nizar juga membidas Najib kerana didakwanya cuba mengambil alih kuasa di Perak melalui cara yang tidak sah.

Berfungsi seperti biasa

Sebaliknya, kata beliau, Najib hanya mahu menakut-nakut rakyat dan melakukan sesuatu tanpa menghormati perlembagaan.

Oleh itu, Mohd Nizar meminta Najib - yang bakal menjadi perdana menteri - supaya berlaku adil kepada rakyat Perak.

Menjawab soalan pemberita, Mohd Nizar berkata, kerajaan Pakatan akan terus berfungsi seperti biasa sehingga Sultan membuat keputusan berhubung permohonan pembubaran dewan undangan negeri.

Sebelum ini,Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat ahli dewan undangan negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.

Begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini. Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Najib berkata, Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan perkara itu kepadanya semalam.MK.