18 Mac 2009

3 pemimpin Pakatan Rakyat tarik diri dari jawatankuasa siasat pergaduhan di Parlimen

Tiga wakil Pakatan Rakyat dalam jawatankuasa siasatan, yang dibentuk untuk menyiasat insiden pergaduan di bangunan Parlimen berhubung isu Karpal Singh tiga minggu lalu, hari ini memutuskan untuk menarik diri daripada menganggotai badan itu.

Mereka ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, R. Sivarasa dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.

Ketiga-tiga mereka dilantik minggu lalu.

Keputusan itu diumumkan tidak sampai dua jam selepas Karpal yang juga Pengerusi Kebangsaan DAP dan menjadi tumpuan insiden tersebut, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung tuduhan mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan terhadap Sultan Perak.

Minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, jawatankuasa khas itu yang menyiasat kes pergaduhan Pemuda Umno Selangor yang didakwa mengancam keselamatan Karpal sudah mengenal pasti saksi dan dalang yang mencetuskan kejadian tersebut.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).

Pada 26 Februari lalu, Pandikar mengumumkan penubuhan jawatankuasa khusus bagi menyiasat tuduhan Karpal berikutan tindakan sekumpulan 15 ahli Pemuda Umno Selangor yang menghalang Pengerusi DAP itu memasuki bangunan Parlimen.

Mereka menuntut Karpal memohon maaf kerana mendakwa Pemuda Umno menghantar peluru kepadanya dan menggunakan perkataan 'celaka' terhadap mereka ketika berucap dalam Dewan Rakyat .

Kejadian mengakibatkan suasana tegang selama kira-kira 15 minit apabila berlaku cabar mencabar dan tolak menolak antara ahli Pemuda Umno dengan beberapa Ahli Parlimen daripada DAP termasuk anak Karpal, Gobind Singh Deo dari Puchong.

Selain itu, Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) dan R Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) mendakwa dikasari kumpulan Pemuda Umno itu apabila cuba membantu Karpal.Mstar.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hmmm, kurang faham mengapa wakil PR menarik diri....

Tanpa Nama berkata...

betol.. knp perlu tarik diri.. bleh yb jelaskan..

Tanpa Nama berkata...

saya pn kurang paham... harap yb bleh jelaskan.... knp perlu tarik diri??

Idham Lim (林川興) berkata...

saya kira ada kaitan dengan tindakan menggantung gobind selama setahun,, satu tindakan protes oleh MP pakatan rakyat.