29 April 2009

Mansor calon PKR pilihan raya kecil DUN Penanti

SOKONGAN... Calon PKR-Pakatan, Mansor Othman disambut oleh bekas penyandang kerusi DUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin (kanan) selepas beliau diumumkan calon bahagian itu malam tadi. - foto The Star oleh MUSTAFA AHMAD


Sah! Sebagaimana diramalkan sebelum ini bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mansor Othman akan diturunkan sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mewakili Pakatan Rakyat.

Mansor merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.

Ia diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR di Yayasan Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira pukul 10 malam tadi.

Menurut Anwar, Mansor akan dicalonkan untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil ini.

Pengumuman mengenainya dibuat Anwar di hadapan kira-kira 1,000 penyokong.

Anwar berkata, pemilihan beliau sebagai calon adalah tepat berdasarkan latar belakang pendidikan yang tinggi, kekananannya dalam parti, seorang pemimpin yang matang dan kemampuannya menerajui perjuangan parti di negeri ini.

Mansor, 56, merupakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memiliki tiga ijazah sarjana.

Bekas Prof Madya di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) itu memegang Sarjana Sains Kemasyarakatan dari USM serta Sarjana Sastera dan Sarjana Falsafah (M.Phil) dari University of Yale.

Anwar berkata, lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon Keadilan dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen PRK DUN Penanti kelak," kata dalam blog beliau.

Beliau merupakan antara pesaing utama untuk menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil berkenaan.

Difahamkan, Mansor menjadi pilihan utama memandangkan beliau tidak dicalonkan mewakili PKR sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Mansor pernah bertanding di peringkat DUN ketika pilihan raya umum Mac 2008.

Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi bagi pilihan raya kecil Penanti.

Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya.

Pada Mac 2008, Fairus menewaskan calon BN. Mstar.

4 ulasan:

penang pi yau berkata...

syabas dr mansur calon penanti, fairus turut hadir dan memberi ucapan...memang hebat ucapannya...hingga beliau dijulang oleh pemuda dan dihadiahkan bunga kpdnya...saya turut hadir semalam di yayasan aman...

semalam tiada seorang pun YB atau pimpinan PAS datang..DAP ramai yg hadir termasuk lim guan eng...
dr mansur pernah mencalarkan pemuda PAS pada 2004 sewaktu hampir dgn pilihan raya umum ke 11, pemuda PAS dihalau dari rumahnya bila mereka datang ke rumahnya untuk berbincang tentang kerusi ADUN di P.pInang, dr mansur bertanding melawan arif shah di dun seberang jaya ketika itu..semua markaz PAS tutup di seberang jaya dan pas tumpukan pd dun permatang pasir..

anwar tahu bukan mudah untuk dr mansur menang di penanti dengan ada sesetengah jentera pemuda, wanita dan bahagian pkr yg sokong dan simpati serta percaya bahawa fairus mangsa konspirasi mangsa fitnah...
tembelang sprm dan spr hampir pecah bila timbalan pengarah spr menyatakan bahawa fairus boleh menarik balik perletakan jawatan sebagai adun penanti...
memang fairus pun merayu untuk tarik semula...
tetapi anwar tolak sebab beliau tahu siapa sebenarnya fairus setelah bergelar tkm 1 p.pinang...

memang ada usaha untuk membeli fairus, sebab itu belum pernah terjadi spr mesyuarat rabu nak umum jumaat kemudian tunda ke isnin...mengapa ini terjadi..
ini adalah kerana najib memang tak mahu umno bertanding di penanti sebab takut kalah dan akan menjejaskan imej umno dan bn...
mereka juga cuba memujuk dan membeli fairus...tapi gagal..

saya ucap syabas dan tahniah sebab fairus masih kekal dengan pkr...semoga beliau insaf...dan saya juga menyokong beliau untuk ambil tindakan undang2 segera kpd mereka yg kononnya dikatakan telah memfitnah dan menjatuhkannya...semoga Allah memberi kemenangan kepada yg benar...
bagi saya fairus adalah seorang yang "opportunist"....
saya tdk mahu dedahkan 9 lagi kotak hitamnya...anwar pun tahu sebab itu anwar terpaksa ambil risiko untuk prk di penanti...

cukuplah saya nak beri ingatan kepada semua...
katakan benar walaupun pahit...
pahit itu ubat yang mujarab...
ingatlah dosa fitnah lebih besar dari membunuh...
semoga dr mansur menang di penanti....

Selipar Putuih berkata...

Dr Mansor calom kami dan Ketua Bhgn di Balik Pulau. Saya takkan lupa salam pertama Dr masa datang ke rumah Timb. Ketua Cwgn kami utk dapatkan bantuan kempen dan Dr sendiri akui PAS lebih dominan di PP khusunya di DUN Pulau Betong, tempat beliau bertanding.

Segala kenangan tersebut menjadi pahit selepas PR mendapat kemenangan negeri walaupun Dr sendiri tewas. Dr minta masyarakat setempat mencalonkan seorang Pengerusi JKKK. PAS yang dominan di UPU kami ini mencadangkan tuan rumah yang pernah dikunjungi Dr untuk mendapatkan bantuan kempen dan ketokohan calon Pengerusi JKKK ni juga disambut baik masyarakat serta diperkenankan veteran ampuno tempatan memandangkan beliau sendiri pernah memimpin Pemuda ampuno cawangan serta JKKK BN dan sekarang ini pula banyak berkhidmat untuk masjid qaryah serta mudah mendekati masyarakat.

Akhirnya Dr Mansor memilih satu-satunya ahli PKR di tempat kami (saya difahamkan semasa PRU12 PKR Balik Pulau belum mempunyai 1 pun cawangan berdaftar, wALlahualam) sebagai Pengerusi JKKK tanpa berbincang apatah lagi memaklumkan pelantikan tersebut kepada PAS & masyarakat setempat. Dan ada khabar angin mengatakan bahawa mana-mana calon Pengerusi JKKK di tempat lain juga diminta menjadi ahli PKR sekalipun sudah menjadi ahli PAS.

Saya harap semua berita di atas hanyalah andaian saya yang salah serta khabar angin yang hanya bertujuan memporakperandakan PR. Tapi jauh di sudut hati, saya kemalasan untuk membantu Dr Mansor dan PKR di DUN Penanti. Selamat maju jaya. Jangan lupa diri macam BN.

Edyes berkata...

Pakatan Rakyat Menuju Kehancuran?

Selipar Putuih berkata...

Bukan semua ahli PAS tak setuju dengan PKR. Ahli PAS seluruh negara akan tetap turun bantu. PR takkan hancur hanya kerana beberapa PAS Kawasan macam kami berkecil ati dan fed-up. BN bergolak lagi teruk. Tak hancur-hancur pun. PAS dah pernah kena tikam belakang oleh kawan sendiri baik dalam BN, APU mahupun BA. Biasalah dalam politik. Tapi kalau PKR nak terus ego dan keras kepala, susah la nak buat kerja.