26 Jun 2009

Apa itu blog? (Bahagian 2)

ZAMRI kecik's

Satu perkara yang penting yang perlu diinsafi oleh setiap penulis blog bahawa apa sahaja yang terkandung dalam blog mereka akan mencerminkan keperibadian, akhlak dan pendirian serta jatuh condongnya minat dan sokongan mereka berhubung satu-satu perkara atau isu.


Melalui blognya sipenulis atau pemilik blog akan menyuarakan isi hatinya berhubung satu-satu perkara. Disitulah ia bergelut dan bertarung menjelaskan sikapnya. Ada yang menulis dengan penuh adab dan cermat, idea dimajukan dalam bentuk yang sangat cantik dan senang dibaca. Manakala ada pula yang selesa mengemukakan hujah dengan bahasa yang pekat retoriknya, kasar, padat dengan maki hamun dan fitnah. Bahasa jiwa bangsa, jika comel dan sejuk bahasanya begitulah bangsanya jika hodoh begitulah juga ia.

Dalam dunia blog sebagaimana yang saya maksudkan sebelum ini andalah raja dunia anda. Tulislah berkenaan apa sahaja yang anda minat,ulaslah berkenaan apa sahaja, suarakanlah sesuka anda. Tetapi awas, kebebasan ada hadnya. Jika karya anda menyinggung, menyentuh peribadi sesiapa, fitnah dan seumpamanya, anda menanggung risiko pertanggungjawaban. Berani buat berani tanggung. Jika ada yang berasa tersinggung atau tidak senang hati, maka walaupun anda raja tetapi anda juga tidak terlepas dari tindakan mahkamah.

Tajamnya mesej blog ini, ia mampu mempengaruhi pandangan dan sikap pembaca. Yang suka dan minat akan terus mengunjungi blog anda manakala yang menyampah akan meninggalkannya, ada juga akan tembak melalui komentar yang terpulanglah kepada pemiliknya samada mahu membenar atau menolak. Malah silap-silap anda semakin dibenci dan tidak lagi dipercayai jika karya anda memanjang menabur fitnah dan mengadu-domba.

Dari pengalaman, blog anda jika padat bermaklumat, sentiasa dikemaskini, tajam analisa dan ulasannya,anda akan mencatat kunjungan yang ramai, kerana sesungguhnya blog ini bagai media alternatif. Mampu mengemukakan maklumat alternatif kepada sesiapa yang berminat.

Tetapi awas lain padang lain belalang, kadangkala walaupun niat dan tujuan kita ikhlas, jasa dan sumbangan anda besar, tetapi jika ada yang benci, tambah pula yang benci itu berkedudukan dan berpengaruh, anda mudah menjadi mangsa. Tetapi jika blogger tadi padat blognya dengan fitnah, pembohongan, maki hamun dan nista, namun ia punya rakan yang berkedudukan dan berpengaruh, ia tetap selamat. Maka dipinggirlah yang benar dan dijulang dan dilambunglah yang mungkar.

Rupanya dunia blog pun tidak sunyi dari pengaruh nafsu dan kelemahan manusia. Kerana itulah bagi saya apa pun halnya biarlah kita ikhlas, jika kita berblog untuk menyampaikan mesej perjuangan, berjuang untuk amar makruf nahi mungkar, terus begitu. Dalam hal ini teringat saya wasiat Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad:

“Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan ada pada kita, maka akan ada harapan cita-cita kita ini dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya jika kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Tiada ulasan: