29 Jun 2009

Salah laku polis, Suhakam digesa siasat segera

KUALA LUMPUR, 28 Jun : - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa agar segera mengadakan siasatan awam (public inquiry) berhubung insiden keganasan ketika pelancaran kempen mogok lapar dan puasa sunat, di Wisma DAP, Ipoh, 26 Mei lalu.

Gesaan itu dibuat 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat ketika menyerahkan memorandum yang memuatkan salah laku polis pada program tersebut kepada Pesuruhjaya Suhakam, Dato' S. Sivasubramaniam dan Tan Sri Simon Sipaun, di pejabat Suhakam, baru-baru ini.


Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim, yang mewakili mereka berkata program tersebut diadakan di Wisma DAP yang merupakan premis persendirian, selain ia tidak langsung mengganggu ketenteraman awam.

Bagaimanapun, sebelum sempat majlis pelancaran dijalankan, pihak polis bertindak menahan beberapa Adun dan petugas parti tanpa sebab munasabah dan walaupun perundingan diadakan.

Selain Adun Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum serta melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak polis, mereka turut menyediakan dua klip video dan beberapa gambar yang menunjukkan tindakan keterlaluan polis ketika menahan mereka.

Menyaksikan dua klip video tersebut, Simon kemudiannya memberikan respons bahawa gambaran yang ditunjukkan pada kedua-dua video itu menyamai insiden 'Perarakan 100,000 Jalan Kebun', di Lebuhraya Kesas pada 1998.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan membawa aduan insiden ini ke mesyuarat bulanan badan itu awal bulan depan, sebelum memutuskan sebarang tindakan berhubung perkara ini.

Sementara itu, dalam sidang media yang diadakan Pakatan Rakyat selepas majlis itu, Pengerusi DAP Perak, yang juga Ahli Parlimen Beruas, Dato' Ngeh Koo Ham secara sinis menyatakan polis di negara ini bukan lagi 'Polis DiRaja Malaysia' tetapi 'Polis Raja Di Malaysia'.

"Masalah yang melanda Perak selama ini telah digalakkan lagi kerajaan BN, dengan menjadikan pihak polis sebagai alat untuk mengelirukan rakyat serta mengasari orang awam dan Adun-Adun. Polis bukan lagi Polis DiRaja Malaysia, tetapi 'Polis 'Raja' Di Malaysia'," kata beliau, sinis.

Justeru, mereka mengharapkan Suhakam dapat meneliti perkara itu dan membuat siasatan awam berkenaan insiden tersebut, selain berjanji akan terus bekerjasama dengan Suhakam bagi membekalkan fakta dan maklumat berkenaan isu ini sekiranya diperlukan.

Selain Idham dan Ngeh, Speaker Dun Perak, Dato' Sivakumar; Adun Pasir Pinji, Thomas Su; Adun Teja, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Ipoh Barat, Kulasegaran; dan beberapa Adun lain turut hadir pada majlis itu. Harakahdaily.

Tiada ulasan: