28 Julai 2009

Bersangka baiklah kepada pemimpin

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)

Tiada sebarang isu di Yaman yang boleh saya ulas pada minggu ini. Maka saya mengambil peluang pada minggu ini untuk menulis suatu perkara yang masih berlegar-legar dalam kotak fikiran ini. Rasanya seperti ada hutang yang belum dilunaskan selagi mana saya tidak meluahkannya.

Perkara ini sudah lama berpusing-pusing dalam kepala saya sehinggalah saya menerima emel dari Hj.Roslan (LanH) yang mengatakan suasana di tanahair sedang ‘panas’. Saya tidak hairan tentang ‘panas’ itu kerana saya faham tentang puncanya.

Saya menunggu masa yang agak lama sehingga keadaan menjadi reda agar tulisan ini dapat dibaca dengan lapang dada oleh semua ahli dan penyokong PAS. Tulisan ini boleh diterima dengan akal yang sihat dan boleh ditolak dengan hujah syarak jua. Saya tiada masalah sedikit pun tentang itu.

Tujuan saya hanya satu; agar suasana ‘panas’ dalam jemaah ini tidak akan berulang lagi akibat salah faham dan kejahilan dalam adab-adab berjemaah. Paling penting, semoga kita semua mendapat keredhaan Allah dalam perjuangan ini.

Tahun lalu saya bertugas mengiringi para delegasi luar sempena Muktamar PAS ke-54 dari K.Lumpur ke Ipoh. Semasa mengiringi Muraqib al-Am al-Ikhwan al-Muslimin Jordan, Syeikh Dr. Hammam Said ke KLIA untuk pulang ke negaranya, saya sempat berbual-bual dan mengambil mutiara-mutiara ilmu daripada beliau.

Katanya, “PAS sebagai sebuah gerakan Islam perlu meluaskan aktiviti dakwah dan tarbiah bagi melahirkan para pendokong dan penyokong yang mempunyai sahsiah Islam dan akhlak yang mulia. PAS tidak sepatutnya hanya menumpukan aktiviti-aktiviti politik semata-mata.”

Seingat saya, perkara yang sama sudah disebut berulang-ulang oleh Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang pada hampir setiap kali muktamar untuk memperkasakan tarbiah. Mengapa perkara ini begitu penting? Kerana apabila tiada sahsiah dan akhlak pada diri sesetengah pemimpin dan pendokong, maka berlakulah apa yang telah berlaku.

Tunggu… biar saya jelaskan maksud saya. Ust. Nik Abduh Nik Abdul Aziz sudah meluahkan pendiriannya dalam blog dan ahli-ahli PAS juga sudah menzahirkan pendirian mereka dalam pemilihan parti dalam Muktamar ke-55 yang lalu. Pada pemerhatian saya, rata-rata penyokong PAS sudah bernafas lega.

Berbalik pada persoalan sahsiah dan ahklak, dalam sebuah kitab yang berjudul al-Ummah, Syeikh Hammam Said menyatakan: “Apabila seseorang pemikir mengeluarkan satu pendapat berkenaan suatu isu, maka sesungguhnya kewajipan bersangka baik mendahului hukum terhadap pendapat tersebut. Begitulah sekiranya satu parti, jemaah atau perkumpulan menetapkan satu pendirian (keputusan) yang tertentu, maka mesti bersangka baik dengannya (keputusan itu). Kerana asal dalam saling bekerjasama ialah bersangka baik,” (hal.16).

Kata-kata ini mengingatkan saya pada isu muzakarah-muqabalah dengan UMNO pada tahun lalu, akibat tiada sifat bersangka baik, berapa ramai ahli PAS yang mengecam usaha ini yang juga merupakan keputusan yang lahir daripada Majlis Syura Ulamak yang mengizinkan Presiden dan Timbalan Presiden untuk bersemuka dengan UMNO?

Itu belum dikira dengan maklumat yang kurang tepat yang disampaikan kepada Tuan Guru Mursyid al-Am oleh para pembantunya sebagaimana yang telah didedahkan oleh anakanda beliau Ust. Nik Abduh sekitar isu tersebut dan isu ‘Unity Government’. Inilah juga yang berlaku dalam isu ahli Parlimen Bachok.. dan entah apa lagi selepas ini.

Tetapi saya kagum dengan para ulama dalam PAS, mereka hidup dengan ilmu dan hujah. Kadang kala perbezaan faham pada istilah menyebabkan berlakunya perbezaan sikap dalam menerima atau menolak. Jika kita pelajari ilmu usul-fiqh, berapa banyak perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan para ulama berpunca dari perbezaan faham pada istilah dan usul mazhab mereka?

Akhirnya, Tuan Guru Mursyid al-Am dan Tuan Guru Presiden saling berpelukan serta berkongsi senyuman yang sama. Begitu juga dengan tindakan tepat Ust. Nasaruddin Mat Isa bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kerana mereka adalah para ulama yang dapat menemukan titik faham dalam perbezaan pendapat berhubung takrif dan istilah. Sedangkan ramai yang bukan ulama tidak memiliki akhlak yang sebegini. Asas kesemua ini adalah bersangka baik dan sedia menerima kebenaran apabila telah zahir perkara yang sebelumnya itu kabur.

Ada banyak lagi perkara yang disebut oleh Syeikh Hammam Said dalam perjalanan dari Ampang ke KLIA, tetapi belum sesuai untuk saya coretkan di sini. Semasa mengunjungi beliau kira-kira 7 bulan kemudian di Amman-Jordan, ada lagi beberapa pesanan beliau yang sempat saya kutip. Tetapi tidak semua yang dapat saya tuliskan dalam temuramah yang tersiar dalam Harakah.

Di antara yang penting berhubung dengan kepimpinan ulama telah disebutkan oleh beliau. Perhatikan kata-kata ini: "Kewujudan para ulama pada peringkat tertinggi adalah jaminan paling besar bagi parti ini. Kerana hubungan umat dengan para ulama adalah satu hubungan yang kuat. Apabila terdapat ulama di situ, maka kepimpinan tersebut berjalan di atas dasar al-Kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ini menjadikan orang ramai berasa tenteram dan selesa dengan kepimpinan tersebut.

Jika kepimpinan itu hanya semata-mata bersifat politik, pragmatisme dan urusan politiknya datang dari luar (rujukan) Islam, luar dari al-Kitab dan as-Sunnah… akhirnya orang ramai tidak lagi bersatu di bawah kepimpinan sebegitu." (Harakah-Fikrah, 23-26 Feb 2009, m/s F14)

Yang penting jangan dipertikaikan lagi tentang kepimpinan ulama, kerana pimpinan PAS dan para perwakilan sudah memilih teraju kepimpinan parti Islam ini. Saya ada membaca komentar-komentar yang kurang sopan bahawa slogan kepimpinan ulama tak perlu dicanangkan lagi; masanya sudah berlalu.

Tidak perlu lagi diperselisihkan peranan ulama dan professional dalam PAS. Saya bersetuju dengan Dr. Syed Azman, bahawa pemimpin bertaraf ulama amat diperlukan untuk memimpin sebuah parti yang memperjuangkan Islam seperti PAS, tetapi pada masa yang sama PAS juga tidak pernah menafikan kebolehan dan kapasiti pemimpin lain yang bukan terdiri dari kalangan ulama (Harakah-Fikrah, 8-10 Mei 2009, m/s F21).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menyeru usah bezakan ulama dan profesional. Saya sangat bersetuju, asalkan kepimpinan ulama terus didokong dan peranan profesional tidak diketepikan. Yang menjadi masalah apabila terdapat golongan yang mahu melampaui peranan dan kapasiti yang ada pada diri masing-masing.

Kami para pelajar agama dididik oleh para ulama di sini agar tidak bercakap mendahului orang yang lebih berilmu daripada kita. Apatah lagi apabila wujudnya para ulama di hadapan mata kita, adakah kita lebih layak untuk menghuraikan nas-nas syarak dan mengistinbat hukum hanya dengan membaca beberapa buah buku?

Kita sepatutnya lebih yakin dan bersangka baik dengan pemimpin kita, kerana kepimpinan parti ini adalah dari kalangan ulama dan segala keputusan penting mesti melalui Majlis Syura Ulamak. Apakah mungkin mereka bercakap secara semberono sebagaimana kebanyakan orang?

Ingatlah, asal hukum dalam berta’amul adalah husnu al-zhon (bersangka baik). Jangan biarkan ‘tangan-tangan’ di luar mempengaruhi sikap kita dan mencorakkan akhlak kita dalam berjemaah. Kita hanya ada pemimpin yang dilantik secara sah dalam pemilihan parti. Wajib taat dalam perkara makruf selagi tidak disuruh dalam perkara maksiat.

Jika berlaku lagi isu-isu seperti ini, harapnya kita bersangka baik terlebih dahulu dan kurangkan bercakap jika tiada maklumat yang jelas. Saya tidak rela melihat suasana ‘panas’ berlaku lagi kerana salah faham dan kejahilan.

Suka saya mengingatkan diri sendiri dan para pembaca sekalian, agar kita mempertingkatkan ilmu pengetahuan. Kerana Allah S.W.T sudah menjelaskan kepentingan ilmu pengetahuan dalam firmanNya (yang bermaksud): “Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran.” (Al-Zumar: 9)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ustaz Khalil Idham Lim yang mudah-mudahan senantiasa dalam Kerahmatan Allah,

saya berpendapat, tulisan Ustaz ini "selayaknya" ketika isu ini masih panas.

walaubagaimanapun, keputusan Ustaz menzahirkan pendapat Ustaz sekarang tetap saya hormati.

semuga kita semua mendapat keampunan dari Allah.

-waqli-
-jb-