13 Julai 2009

Gaji adalah hak individu

Email Oleh : mohd naim mohd zain

Soalan:
ADAKAH gaji isteri adalah hak mutlak suami, bermakna setiap perbelanjaan isteri terhadap gajinya sendiri perlu meminta izin suami terlebih dahulu dan isteri tidak boleh berbelanja tanpa pengetahuan suami?

Jawapan:

Gaji isteri bukan hak mutlak suami, begitu juga gaji suami bukan hak mutlak isteri. Gaji yang diperoleh oleh setiap individu melalui pekerjaan yang dilakukan adalah hak individu.

Ini adalah kerana gaji adalah hasil titik peluh masing-masing dan tidak boleh dianggap gaji isteri sebagai gaji suami dan gaji suami sebagai gaji isteri.

Dalam urusan rumah tangga maka suamilah yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyedia makan minum, tempat tinggal dan keperluan-keperluan asas bagi sebuah keluarga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya) . Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.(al-Nisa':34)

Namun hari ini, kita lihat kebanyakan suami isteri berkerja. Adakalanya selepas perkahwinan suami meminta isteri berhenti kerja supaya dapat memberi tumpuan kepada urusan rumah, lebih-lebih lagi sekiranya sudah mempunyai zuriat.

Ada pula suami yang meminta isterinya kerja supaya dapat meringankan tanggungannya memandangkan pendapatannya yang sangat terhad.

Biarpun kaum lelaki sepatutnya bertanggungjawab dalam semua hal urusan rumah tangga lebih-lebih lagi dalam urusan mencari rezeki, namun tidak salah kalau dibantu oleh isteri bagi meringankan bebanan suami.

Kadang-kadang lahir pandangan bahawa duit gaji masing-masing punya, gaji suami untuk keperluan suami manakala gaji isteri bagi keperluan isteri, maksudnya suami jangan campur pendapatan isteri dan isteri tidak akan mencampuri pendapatan suami.

Sebenarnya pandangan sebegini boleh merosakkan keharmonian rumah tangga, ini kerana suami isteri mula hidup berkiblatkan material dan hidup untuk kepentingan peribadi.

Dari awal lagi, sebagai seorang suami kena faham bahawa isteri berkerja untuk meringankan suami bukan untuk melepaskan tanggungjawab suami. Adalah salah sekiranya suami menggangap bahawa gaji isteri adalah hak mutlaknya.

Antara yang perlu difahami ialah suami berpendapatan tinggi dan isterinya juga berkerja tidak melepaskan si suami daripada menanggung keperluan isteri, anak-anak dan rumah.

Soalan 2:

Sekiranya gaji isteri adalah hak mutlak suami, bolehkah disamakan gaji isteri sebagai nafkah? Bermaksud sudah memadai sekiranya isteri menggunakan gaji sendiri untuk keperluan diri dan anak-anak, maka suami tidak perlu lagi memberi nafkah?

Jawapan:

Pendapatan isteri tidak boleh dianggap sebagai hak mutlak suami ini kerana pendapatan itu hak isteri secara mutlak. Hak mentadbir kewangan isteri akan berpindah sekiranya isteri gagal mentadbir kewangan secara betul. Selain dari itu adalah hak isteri mengurus kewangannya.

Pendapatan isteri atau gaji isteri adalah untuk membantu suami dalam meringankan bebanan itupun jika suami tidak mampu menanggung kesemua kos pengurusan keluarga.

Namun, sekiranya ada suami yang beranggapan gaji isteri untuk menanggung segala kos keluarga dan suami lepas tangan adalah tidak betul dan sikap sebegini sikap yang tidak bertanggungjawab.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.(al-Talaq: 6-7).

Di dalam kedua-dua ayat ini Allah SWT memperincikan tanggungjawab seorang suami ke atas isteri dan keluarganya. Apa yang penting dalam mengemudi bahtera rumah tangga, ialah memahami peranan masing-masing, suami memahami peranannya dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, isteri juga perlu faham dan memahami tanggungjawabnya dalam membantu dan meringankan bebanan suami. Inilah di antara kunci keharmonian rumah tangga.

Tiada ulasan: