05 November 2009

Hijau akan jadi konsep pelancongan Kedah

ALOR SETAR, 3 Nov: Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan segala perancangan untuk menjadikan Kedah sebagai salah sebuah negeri pelancongan berkonsepkan hijau akan terlaksana dan menjadi satu realiti.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, S.Manikumar.

Menurut Manikumar lagi bermula pada tahun 2010 negeri Kedah akan menjadi pusat pelancongan yang berasaskan kehijauan apabila kesemua perancangan untuk merealisasikannya selesai.

"Kehijauan yang ada di negeri ini merupakan satu kekuatan bagi pelancongan yang ada di negeri ini.Kita akan mengkaji lokasi yang strategik untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan tersebut.Konsep ini juga tidak akan hanya ditumpukan kepada keindahan floranya sahaja malah ia akan turut memberi tumpuan kepada kawasan sungai yang ada dalam negeri ini.

"Kawasan rekreasi sepanjang Sungai Kedah akan diberi tumpuan kerana ia terletak di pusat bandar.Satu lagi konsep yang akan dibawa ialah dengan menarik pelancong yang masuk ke Langkawi untuk datang melihat sendiri konsep kehijauan yang akan dilaksanakan itu."

Manikumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau berkata, konsep kehijauan ini dipilih kerana sebagai satu daya tarikan negeri Kedah kerana ia bukan sahaja dikelilingi oleh kehijauan sawah padi malah kawasan seperti Gunung Keriang dan Gunung Jerai adalah amat menarik untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan yang mampu membawa pendapatan kepada negeri ini. _

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

WUZARA berkata...

Apa yang diamalkan oleh para khalifah terdahulu, konsep pelancongan yang digunakan oleh Negara Islam adalah dakwah. Pelancong dari luar terikat dengan hukum dalam negara Islam, tidak boleh mendedahkan aurat dikhalayak umum, dan didedahkan dengan perlaksanaan hukum Islam dan kehebatannya. Ini mendorong ramai mereka masuk Islam.

Saya rasa Ustaz wajar cadangkan konsep pelancongan begini ke atas negeri-negeri yang diperintah PAS. Sangat sedih jika sudah memerintah dakwah masih berlaku tidak pada peringkat maksima sedangkan kuasa ada pada tangan. Berat nak jawab di depan Allah kelak.