26 November 2009

Peguam Banggarma minta bukti dari JKM

Peguam yang mengendalikan kes S Banggarma, menyifatkan kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahawa surirumah itu telah diislamkan oleh bapanya sendiri pada 1983 adalah "tidak konsisten dan bercanggah" dengan kandungan sijil pengislaman yang dikeluarkan kepadanya pada 1989.

Peguam Gooi Hsiao Leung menuntut Ketua Pengarah JKM,Datuk Meme Zainal Rashid supaya menyerahkan dokumen yang membuktikan pelanggannya, Banggarma, 27, telah memeluk agama Islam pada 30 November 1983 di Rompin.

Dalam satu kenyataan semalam, Meme menjelaskan bahawa Banggarma, atau nama lainnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah, telah menganut agama Islam sebelum dimasukkan ke sebuah rumah kebajikan di Kepala Batas kira-kira dua dekad lalu.

Oleh itu, ketua pengarah kebajikan masyarakat itu menjelaskan, dakwaan bahawa wanita itu diislamkan semasa berada di bawah jagaan JKM adalah "tidak benar".

Meme juga dilaporkan berkata, semua dokumen yang masih disimpan menunjukkan wanita itu telahpun menganut agama Islam sebelum memasuki institusi kebajikan tersebut.

Mengulas lanjut Gooi berkata, beliau akan menulis kepada Meme untuk meminta jabatan itu membuktikan kenyataan tersebut dan menyerahkan buktinya kepada Banggarma dengan segera.

Gooi berkata, sijil yang ada pada Banggarma menunjukkan dia memeluk Islam pada 28 Disember 1989 di hadapan pegawai-pegawai jabatan agama Islam.

Sebaliknya, kata beliau, JKM kini mendakwa surirumah itu telah diislamkan sendiri oleh ibubapanya ketika dia berusia setahun.

Bercakap dalam sidang akhbar di pejabatnya di Pulau Pinang, Gooi berkata, tidak boleh ada orang yang memeluk Islam dua kali.

Gooi juga membidas kenyataan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Shabudin Yahaya bahawa Banggarma adalah seorang Islam dan isu perkahwinannya merupakan satu isu perundangan.

Menurutnya, JKM dan pihak berkuasa Islam telah gagal melihat persoalan utama mengenai pertukaran agama seorang anak di bawah umur dalam jagaan rumah kebajikan.

Gooi berkata, Seksyen 80 Enakmen Hal Ehwal Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 1993, dengan jelas menyatakan bahawa seseorang yang di bawah umur 18 tahun tidak boleh memeluk Islam tanpa kebenaran ibubapanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: