24 Disember 2009

Surat Pembaca : UMNO JANGAN POLITIKKAN MASJID

6 Muharram 1431

Saya ingin merujuk kepada isu yang ditimbulkan oleh ADUN Slim River berkenaan Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid Seluruh Negeri Perak. Saya adalah merupakan salah seorang bekas AJK Kariah yang dilantik oleh Majlis Agama Islam suatu masa dahulu. Setahu saya Pelantikan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid adalah dilantik berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998. Mengikut undang-undang hanya 3 pihak iaitu Pegawai Tadbir Agama, Penghulu dengan Orang Besar Jajahan sahaja yang mempunyai kuasa bagi mencadangkan kepada Majlis senarai nama ahli Jawatankuasa Kariah. Amatlah menghairankan bagaimana ada pihak mempertikaikan cadangan ketiga-tiga pihak dengan membandingkannya senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar.

Adalah amat biadab bagi seorang wakil rakyat yang mewakili parti pemerintah membuat tuduhan melulu terhadap seorang Ketua Jabatan yang dilantik oleh kerajaan yang memerintah. Apakah menjadi kesalahan bagi Pengarah Jabatan Agama Islam Perak menyenaraikan ahli parti pembangkang dalam AJK Kariah Masjid. Apakah hanya ahli UMNO sahaja yang layak menjadi AJK Kariah Masjid. Pengalaman saya dalam menggangotai AJK Kariah Masjid, saya dapati kebanyakan orang UMNO hanya berminat berebut jawatan berbanding menjalankan amanah sebagai pengimarah masjid. Sebahagian daripada mereka beria-ia hendak merampas jawatan tersebut dengan tujuan untuk membatalkan kuliah-kuliah pengajian di masjid-masjid.

Kriteria pelantikan seharusnya hanya berdasarkan kepada penentuan Allah seperti yang disebutkan dalam Surah At-Taubah ayat 18 iaitu mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka tidak takut kecuali kepada Allah. Alangkah baiknya jika pendekatan campuran berbagai golongan di dalam AJK Kariah Masjid dilaksanakan sebagaimana usaha yang telah cuba dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Jika tidaklah kerana sikap UMNO yang suka mempolitikkan masjid dan surau, pasti Negeri Perak sudah mempunyai pentadbir masjid yang terbaik yang mampu mengimarahkan rumah Allah bertepatan dengan kehendak Allah.

Bekas,
Ahli Jawatankuasa Kariah,
Negeri Perak Darul Ridzuan

1 ulasan:

rayman berkata...

Salam YB,

Saya sebagai anak Perak berasa amat malu kerana perkara perlantikan AJK Masjid yang begini kecil pun bermasalah. Masjid memerlukan ahli/kariah yang boleh menghidupkan suasana bukannya memalapkan terus.

Apalah nak jadi dengan Negeri Perak yang amat saya cintai. Barangkali Perak perlu jadi macam Aceh.....baru boleh hidup aman.

Wallahua'lam