16 Januari 2010

Buang ayah tepi jalan....

1 Safar 1431

Kekadang sering orang bercakap berhati-hati pilih menantu nanti dapat hantu, namun ianya memang realiti dengan kisah benar yang dipaparkan didada akhbar tempatan kelmarin. Sebelum ini kerap kita dengar berita orang buang anak tetapi sekali ini lain pula iaitu cerita orang buang ayah. Semuga ianya menjadi teladan kepada kita semua.

KANGAR: Seorang bapa yang baru selesai menjalani pembedahan jantung terkejut apabila dengan tidak semena-mena dibuang anak sendiri yang sengaja meninggalkannya bersama bungkusan pakaian di tepi jalan raya berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Ahmad, di sini.

Kejadian memilukan itu berlaku petang 7 Januari lalu sejurus Abdul Rahman Talib, 57, yang baru dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani pembedahan jantung, menjejakkan kaki di rumah anak lelakinya di sebuah taman perumahan dekat sini.

Anak lelakinya yang berusia 30 tahun bertindak demikian selepas mendapat tekanan daripada isterinya yang enggan menerima semula kehadiran bapa mentuanya dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

“Saya hanya minta dia hantar ke pekan Kangar walaupun menyedari tiada arah dituju sebelum dia meninggalkan saya di tepi jalan raya berhampiran sekolah itu,” kata Abdul Rahman ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, ketika itu, dia hilang arah dan merayau-rayau di sekitar kawasan sekolah sebelum mengambil keputusan tidur di pondok bas berhampiran pada malam berkenaan.

Abdul Rahman berkata, keesokannya, anaknya datang menemuinya yang disangka menyangka mahu menjemputnya semula selepas menyesal dengan perbuatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, andaian itu meleset sama sekali kerana anaknya cuma datang untuk menghantar basikal miliknya bagi memudahkannya bergerak.

“Menitis air mata saya ketika melangkah kaki keluar dari kenderaan milik anak saya kerana tak menjangka dia tergamak melakukan perbuatan ini selepas saya memelihara dan menjaganya bagaikan menatang minyak yang penuh,” katanya.

Menurutnya, pada hari kedua selepas dibuang anaknya, dia bernasib baik apabila bertemu seorang kenalan di belakang sekolah terbabit yang bermurah hati mempelawa bermalam di rumahnya.

Katanya, sejak tiga malam lalu, dia bertuah dapat menumpang berteduh di rumah berkenaan, tetapi tidak tahu berapa lama kenalannya itu mampu menumpangkan di rumahnya.

Mengulas kejadian itu, Abdul Rahman, bekas nelayan dari Kampung Belat Batu, Kuala Perlis berkata, dia sebelum ini menetap seorang diri di Pulau Langkawi selepas berpisah dengan bekas isterinya, Halijah Othman, iaitu ibu kepada anak lelakinya itu.

“Saya bekerja sebagai pembantu kedai makan di pekan Pokok Asam, Langkawi selama lima tahun, tapi anak saya ini minta saya pulang ke rumah menetap dan bekerja bersamanya.
“Lagipun, rumah berkenaan dibeli menerusi duit pampasan rumah yang dibina hasil titik peluh saya sendiri ketika menjadi nelayan satu ketika dulu. Rumah lama kami diambil kerajaan bagi pembinaan landasan kereta api,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sebelum ini dia menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Langkawi, tetapi bantuan terbabit dihentikan selepas dia mengambil keputusan pulang dan menetap bersama anaknya sejak sebulan lalu.

Katanya, selepas menetap di situ, anak dan menantunya mula menunjukkan sikap dingin, malah dia terpaksa pergi seorang diri ke HPP untuk menjalani pembedahan jantung selepas pengsan di stesen bas di sini.

“Ketika bertarung dengan maut di HPP selama empat hari, anak dan menantu langsung tak menjenguk dan saya beranggapan mereka mungkin sibuk dengan perniagaan makanan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya terkejut dan hampir tak percaya apabila anak saya itu minta saya keluar apabila pulang ke rumahnya,” katanya.

Abdul Rahman mempunyai seorang lagi anak perempuan yang sudah berkahwin dan kini menetap di Langkawi.

Difahamkan, kakitangan JKM Perlis datang mengambil warga emas itu di pondok bas berkenaan kira-kira jam 7 malam tadi dan dibawa Rumah Kebajikan Batu Bertangkup di Beseri dekat sini.

14 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jika berdasarkan berita semalam, terdapat satu lagi kes penderhakaan seorang anak di Perlis, di mana seorang bapa yang sakit buah pinggang ditinggalkan di pusat hemeodalisis. Ini belum termasuk peristiwa pemenggalan kepala seorang ayah oleh seorang anak di Semenyih. Ini bala Allah, semoga kita semua yang beriman dilindungi.

Tanpa Nama berkata...

Maasyaa Allah...ada juga anak sebegini....

Ya Allah, aku juga sedang menjaga ayah yg kena stroke, memang menguji kesabaran aku, kadangkala menangis sendiri, dengan anak kecil lagi...

Ya Allah, Kau berilah aku kesabaran dalam menjaga ayahku sebagaimana sabarnya ayahku mendidikku dulu..Kau kurniakanlah padaku kesabaran sebagaimana sabarnya para Nabi 'Ulul Azmi menempuah ujian-Mu. Ya Allah, janganlah Kau jadikan aku anak derhaka kepada orang tuaku..kurnialahkan lah ya Allah, hanya Engkau Yang Maha Pemberi Kesabaran..

Tanpa Nama berkata...

zaman buang anak tepi jalan dan buang ibubapa tepi jalan, nauzubillah

Tanpa Nama berkata...

nau'zubillahhimindzlik. semoga allah memberi hidayah kpd kita semua juga kpd anak pakcik tersebut.media massa & elektonik perlu perlu main peranan yang betul, contoh iklan yg tak sihat iklan (kad kredit maybank) juga pemimpin dan masyarakat sekeliling

Tanpa Nama berkata...

ya allah...
ciannya pkcik ni...
aku xsmpai at tgk cmni..
jka kta dpt mdlami pngrbanan seorg bapa,sgt xtrhngga..tp ada gk mkhluk allah yg lbih hina dri binatang wt cmni..msing2 ada ank gk..xlari ke mana la klu wt cmni kt prents..

WAWZ09 berkata...

SALAM, semoga Allah memberi hidayah kpd anak pak cik yg malang ni.peluang bertaubat masih terbuka

Qaseh Bonda berkata...

Bapanya tentu ada kesilapan sehingga menerima ketentuan itu...

Tapi bagi anak2 yang faham makna tentang hidup ni untuk apa...tentu akan merebut peluang menebus segala kesilapan bapa...

Jangan diungkit apa bapa dah bagi pada kita cukuplah dengan merenung tanpa bapa tak munkin kita dapat lihat bulan dan matahari.

China Islam pun tak buang mak bapa yang masih makan babi...inikan mak bapa yang Islam..yang kita hidup ini hanya untuk diuji...sejauhmana Islam melekat di hati.

Senario ini mengingatkan dan memberi amaran pada hamba2nya yang langit tak sentiasa cerah.
Rebut2lah peluang menambah baik hubungan dengan mak bapa demi meraih cinta Allah.

Nikmatnya dirasai...seperti sabda Nabi S.W.S.

' Berbuat baiklah pada ke dua ibu bapamu nescaya anak2 berbuat baik padamu '

Nabi tak pernah munkir janji.

Tanpa Nama berkata...

wahai kaum bapa, jadikan kisah ini sebagai iktibar supaya bertanggung jawab kepada anak anak sejak dari kecil. Jangan jadikan alasan berpisah dengan isteri sebagai tiket untuk mengabaikan tanggung jawab sebagai ayah...Jangan lah jadikan kisah ini untuk menghukun anak sahaja, sebaliknya jadikan ia nya untuk muhasabah diri sendiri. Mungkin kah apa yang berlaku merupakah KAFARAH dari Allah Taala?

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Qaseh bonda,

Berkatalah dengan berhemah. Walau pun perkataan anda betul, tetapi agak kasar memandangkan anda menulis di blog CINA ISLAM.

Kalau anda berbahasa demikian apakah anak anak anda akan bercakap dengan bahasa yang halus apabila mereka dewasa? Ingatlah pepatah yang berbunyi ayah kencing berdiri anak kencing berlari.

Faridah Ahmad berkata...

Salam,ini adalah tanda-tanda kiamat semakin hampir.

Tanpa Nama berkata...

Kalau nak tu terror sangat cuba buat nama bapak dia yang ada kat sebelah nama dia yang diberi oleh bapak dia tu....

Tanpa Nama berkata...

ini dosa besar harap si anak kembali bertaubat mintak ampun dengan ayahnya...

Balqis Rashdeen berkata...

cuba baca petikan akhbar di atas betul2..

"Mengulas kejadian itu, Abdul Rahman, bekas nelayan dari Kampung Belat Batu, Kuala Perlis berkata, dia sebelum ini menetap seorang diri di Pulau Langkawi selepas berpisah dengan bekas isterinya, Halijah Othman, iaitu ibu kepada anak lelakinya itu."

saya membacanya dengan maksud yang mungkin berlainan dari tuan puan. yang akhirnya membawa saya kata 'oh patutlah..."

Qaseh Bonda berkata...

Waalaikummussalam wahai tanpa nama...

Maafkan saya andai terkasar bahasa...silapnya saya baru baca komen tuan hamba hari ini.

Saya kira blog ini lebih terbuka dalam memberi komennya..

Apapun saya mohon maaf sekali lagi..tiada daya dan kekuatanku melainkan Allah saja yang tahu bahawa tiada niat hamba mencemari blog ini..