24 Februari 2010

Tokong terbakar tiada unsur sabotaj

9 Rabiul Awwal 1431H

KUALA TERENGGANU, 23 Feb: Maklumat dan siasatan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati tiada unsur khianat atau sabotaj dalam insiden kebakaran Tokong Ho Ann Kiong, Kampung Cina di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut ketika bergegas ke tempat kejadian memaklumkan, pihak bomba mengesahkan kejadian tersebut bukan perbuatan khianat mana-mana pihak.

"Saya bimbang takut usur khianat ke, tapi disahkan tadi tidak ada.

"Bomba sendiri sebut tadi, tapi dia masih siasat, cuma dia pesan tadi jangan timbul tuduhan- tuduhan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam.

Menurut penduduk, asap tebal dilihat mula keluar dari bahagian atas bumbung bangunan tokong tersebut lebih kurang jam 9 malam.

Mereka bagaimanapun tidak dapat masuk ke dalam bangunan tersebut untuk memadam kebakaran kerana pintu tokong berkunci.

Difahamkan, penjaga tokong tersebut keluar untuk makan sewaktu kejadian berlaku.

Ekoran itu, penduduk menghubungi pihak bomba dan dan polis.

Pihak bomba yang tiba sejurus kemudian berjaya mengawal kebakaran kira-kira dua jam kemudian akibat api terlalu kuat.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.

Tokong tersebut antara yang tertua di negeri ini dengan usia lebih 200 tahun.

Senibinanya juga agak unik dengan kebanyakan barang-barangnya diimport dari luar negara.


Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: