11 Mac 2010

Selangor komited angkat martabat wanita

24 Rabiulawal 1431H
Sekretariat Akhbar

SHAH ALAM, 9 Mac: Kerajaan Negeri Selangor terus komited dalam usaha mengangkat martabat kaum wanita dalam negeri ini ke arah menyediakan sistem sokongan yang sewajarnya untuk matlamat tersebut.

"Jangan biarkan wanita terus kekal sebagai satu statistik atau sekadar angka mangsa keganasan dan penindasan dalam negara ini," ujar Rodziah Ismail, Exco Hal Ehwal Wanita, Sains dan Teknologi dan Inovasi dalam satu majlis sambutan Hari Wanita Sedunia semalam di Foyer Bangunan SSAAS, di sini.

Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri melalui Exco Selangor itu menyampaikan bantuan kewangan sejumlah RM5,000 kepada mangsa keganasan polis, Norizan Salleh seorang ibu tunggal yang hampir maut kerana ditembak polis sebanyak lima kali. (gambar atas)

Beliau berkata, Norizan telah meminta untuk berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, namun sehingga ke hari ini Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih enggan berjumpa malah tidak mengambil tindakan ke atas anggota polis yang menyerang ibu tunggal itu.

"Menteri Dalam Negeri tidak harus melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap tindakan ganas anggota polis itu kerana ini membabitkan keselamatan awam khasnya kaum wanita," tegasnya.

Menurut Rodziah, Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun pada 8 Mac bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada wanita yang jumlahnya lebih 50 peratus daripada penduduk dunia ini.

"Lebih 49 peratus daripada penduduk Selangor terdiri daripada kaum wanita, maka kerajaan negeri telah meletakkan kepimpinan tertinggi negeri lebih 30 peratus adalah wanita untuk terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan negeri.

"Kerajaan juga sedang berusaha untuk mempertingkatkan peratusan wanita yang menduduki kedudukan di peringkat pembuat dasar dan keputusan tidak kira di sektor awam atau swasta," sambungnya.

Yang turut hadir adalah Yang Dipertua Pekawanis, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin, Exco Selangor, Teresa Kok, Adun Rawang, Gan Pei Nei, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, Adun Kota Damansara, Mohd Nasir Hashim dan wakil-wakil NGO hak wanita.

Harakahdaily.net/-


Tiada ulasan: