18 Mac 2010

Tarik rayuan kerana tidak yakin sistem kehakiman- Anwar

1 Rabiulakhir 1431H
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Tidak yakin dengan kebebasan institusi kehakiman negara mendorong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya sebelum ini supaya menghalang Hakim Datuk Mohd Zabidin Mat Diah dari mendengar perbicaraan kes liwat yang membabitkannya.

Menurut beliau, sekiranya rayuan mengetepikan Mohd Zabidin diterima sekalipun, beliau seolah-olah menganggap perbicaraan di Malaysia tidak dilaksanakan secara bebas dan adil.

“Penarikan ini jelas, (sekiranya) menukar seorang Hakim, tidak akan menukar sistem kehakiman di Malaysia,” kata beliau di lobi parlimen tengah hari tadi.

Penarikan itu sekaligus membatalkan pendengaran rayuan yang sepatutnya dilakukan pada Jumaat ini.

Turut serta pada sidang media itu peguamnya, Karpal Singh.

Pada 19 Februari Anwar menfail notis rayuan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes itu pada hari sebelumnya.

Mohamad Zabidin berkata tidak ada sebab baginya untuk menarik diri daripada terus mendengar kes itu, dengan mengatakan bahawa sekiranya beliau melakukannya ia bermakna beliau melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawabnya.

Pada 8 Februari Anwar menfail permohonan supaya hakim itu menarik diri dengan alasan Mohamad Zabidin bertindak berat sebelah apabila enggan melayan permohonan oleh peguam utama Anwar, Karpal Singh, untuk mengenakan tindakan menghina terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: