07 April 2010

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saman Utusan RM29 Juta

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap seorang editor dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Azan yang hadir bersama peguam yang mewakilinya, A. Vasudevan memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi tetuan Vasudevan A & Co.

Beliau menamakan editor akhbar Utusan Zulkiflee Bakar sebagai defendan pertama dan syarikat akhbar itu, defendan kedua.

Dalam penyata tuntutannya, Azan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Zulkiflee telah menulis satu artikel dalam akhbar Utusan pada 6 Mac lalu yang berunsur fitnah terhadap beliau.

Azan mendakwa dalam artikel yang berserta dengan gambar itu mengatakan bahawa beliau telah keluar dari PKR dan telah meletakkan gambarnya bersama dengan ahli-ahli politik lain yang telah keluar dari PKR sebelum itu.

Tambahnya, defendan kedua pula telah mencetak dan menerbitkan satu laporan susulan pada ruang ralat dalam suratkhabar Utusan Malaysia pada 8 Mac lalu yang menyatakan Azan tidak keluar dari PKR tetapi telah meletak semua jawatan dalam PKR termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri.

Dakwanya lagi, kedua-dua cetakan dalam akhbar pada 6 Mac dan 8 Mac itu boleh menjatuhkan air muka serta maruahnya.

Beliau menuntut ganti rugi RM29 juta terhadap kedua-dua defendan, satu injunksi terhadap defendan pertama daripada membuat apa-apa laporan dan/atau penulisan lain yang berunsur fitnah terhadapnya dan injunksi terhadap defendan kedua daripada mencetak apa-apa laporan berunsur fitnah.

Azan juga menuntut faedah 8 peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi RM29 juta dari tarikh saman itu difailkan. - mStarOnline/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tulis jangan ikut suka je!!

Tanpa Nama berkata...

syabas, sy setuju sgt2 yg akhbar ni di saman, rakyat semua bukan bangang utk menilai berita2 yg di tulis di UM, dah betul tu yg pertama kita nak saman lain kali ialah yg punya diri kmdn baru pertubuhan atau organisasi bantai biar sampai rm berjuta2 yob kalau menang nanti yg dua2 tu akan salahkan satu sama lain biar mereka bergaduh sesama sendiri, supaya lain kali tulis apa yg benar2 berlaku- sepatah kita berbohong sebatu Malaikat Rahmat jauh daripada kita.