07 April 2010

PKR Senarai Pendek Lima Nama

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyenarai pendek lima nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata sehingga kini, jawatankuasa pilihan raya pusat parti itu telah menerima 12 nama yang dicalonkan diperingkat akar umbi.

“Setakat ini kita ada lima nama yang telah disenarai pendek. Namun keputusan akhir akan dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat parti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mengenai kriteria calon yang akan dipilih oleh parti itu nanti, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, PKR tidak pernah menetapkan faktor kaum sebagai kriteria utama sebaliknya calon yang dipilih perlu diterima oleh rakyat di kawasan Hulu Selangor.

“Yang lebih utama, PKR akan pastikan calon yang akan dipilih mampu diterima baik oleh rakyat dan boleh berkhidmat kepada masyarakat tempatan itu lebih penting,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman mengenai calon PKR itu akan dibuat pada satu ceramah pengenalan calon pada minggu hadapan.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras pada 26 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 17 April untuk penamaan calon dan 25 April sebagai tarikh pengundian.

mStarOnline/-

Tiada ulasan: