28 Mei 2010

2,000 perwakilan PKR berkongres 29 dan 30 Mei

13 Jamadil Akhir 1431 H

KOTA BHARU, 26 Mei: Kira-kira 2,000 perwakilan dari 206 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak akan berhimpun di Kelantan Trade Centre (KTC) 29 dan 30 Mei ini bagi menyertai Kongres Tahunan PKR.

Persiapan rapi telah dibuat di sini oleh panitia kongres yang dipimpin oleh Setiausaha Agungnya, Saifudin Nasution Ismail.

Sebelum kongres penuh bermula, kongres Angkatan Muda dan Wanita PKR akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali pada 27 Mei mulai jam 8.30 malam di Dewan Besar KTC.

Sidang penuh kedua-dua sayap ini pula akan diadakan pada hari Jumaat ini. AMK akan berlangsung di Perdana Resort manakala Wanita di KTC.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dijadualkan memberikan ucapan dasar kongres ini pada jam 9 pagi 29 Mei manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan amanatnya sebelum mereka berpisah pada petang 30 Mei.

Sehingga kini, Datuk Mustafa Ali akan mewakili PAS manakala Lim Kit Siang akan mewakili DAP di majlis perasminan.

Para diplomat dari kedutaan Amerika, United Kingdom, Australia dan Kesatuan Eropah telah mengesahkan kehadiran mereka ke kongres ini di samping para NGO dari dalam dan luar negara.

"Di samping kongres, kami aturkan juga ceramah perdana sempenanya. Pada 28 Mei kita akan adakan di Tanah Merah di mana Tok Guru Nik Aziz akan berceramah dengan Anwar dan Lim Kit Siang manakala pada 28 Mei Tok Guru Nik Aziz akan berceramah dengan Anwar dan Lim Guan Eng di Padang Perdana," beritahu Saifudin Nasution Ismail kepada Harakahdaily.

Saifudin meramalkan, antara isu utama yang bakal menghiasi kongres kali ini adalah isu lesen judi
bola sepak piala dunia yang diberikan Menteri Kewangan kepada Vincent Tan.

Selain itu, isu penyerahan Blok L dan M kepada Brunei juga bakal dibangkitkan dalam ucapan dasar Presiden di samping isu-isu dalaman PKR dan usaha untuk memperkasakan Pakatan.

Beliau juga memberitahu, tumpuan ucapan dasar juga akan diberikan kepada pemerkasaan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Keluar PKR

Sementara itu, Saifudin juga mengesahkan, pihaknya mengikuti dengan rapat usaha bekas pemimpin PKR dan Umno yang mahu membeli para pemimpin PKR agar keluar menjelang kongres kali ini.

"Memang menjadi modus operandi mereka akan membuat pengisytiharan menjelang pilihan raya kecil atau kongres parti. Jadi kami yakin mereka akan buat juga untuk kali ini di samping menggoncang Kedah," kata Saifudin kepada Harakahdaily.

Di Perak, AMK Perak akan membuat sidang akhbar khas esok bagi mendedahkan kospirasi untuk mengeluarkan ahli PKR. Tajuk sidang media ini adalah "Pendedahan konspirasi terhadap AMK dan sogokan wang untuk keluar parti".

Menurut sumber, bekas Exco kerajaan negeri Perak yang juga Adun Behrang yang keluar dari PKR, Jamaludin Md Radzi adalah antara pemuka dalam menjalankan kerja ini.

Beliau didakwa mengadakan pertemuan dengan para pemimpin PKR dan AMK peringkat cabang untuk memujuk mereka meninggalkan PKR.

Namun, pegawai SPRM dikatakan mengawasi pergerakan mereka ini.

Saifudin yakin, tidak ada lagi nama-nama besar PKR akan keluar dari PKR kali ini.

Beliau juga yakin, usaha ini tidak akan berjaya kerana perjuangan PKR sekarang bukan berdasarkan beberapa kerat individu tetapi berdasarkan kehendak dan airmata rakyat.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: