28 Mei 2010

Cheng Men Li Xue

13 Jamadil Akhir 1431 H


Berdiri di Depan Pintu Rumah Cheng Yi dalam Salji

Asal Usul:

Pada zaman Dinasti Song Utara, iaitu antara tahun 960 hingga tahun 1127, ada seorang muda lulusan peperiksaan kerajaan di provinsi Fujian yang bernama Yang Shi. Dia dikatakan amat berminat untuk membuat kajian dalam pelbagai ilmu pengetahuan, dan pernah menjadi pelajar bagi Cheng Hao, seorang sarjana yang sangat tersohor di bandar Luoyang. Selepas Cheng Hao meninggal dunia, dia diterima pula oleh Yang Yi, adik kandung Cheng Hao, untuk terus menuntut ilmu di akademi pengajian yang dibinanya di bandar Luoyang.

Pada masa itu, Yang Shi sudah berumur lebih 40 tahun, dan taraf pengetahuannya sudah sangat tinggi. Walaupun begitu, dia tetap sangat rendah hati. Pada suatu hari, dia bersama seorang temannya yang bernama You Zuo, ingin pergi menziarahi guru mereka, Cheng Yi untuk berbincang dengannya tentang beberapa persoalan yang mereka hadapi dalam pelajaran mereka. Bagaimanapun, ketika mereka sampai, Cheng Yi kebetulan sedang tidur dengan lena. Yang Shi menasihati You Zuo supaya jangan mengganggu beliau. Maka, kedua-duanya pun berdiri di luar pintu untuk menunggu beliau bangun. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba, salji mula turun dengan lebatnya. You Zuo yang tidak tahan lagi dengan kesejukan yang keterlaluan itu, beberapa kali ingin membangunkan Cheng Yi, tetapi telah dihalang oleh Yang Shi.

Menurut ceritanya, ketika melihat dua "orang salji" ini menunggunya dalam kesejukan di luar pintu, Cheng Yi yang baru bangun dari tidur itu, berasa sangat terharu. Maka, sejak itu, beliau menjadi lebih rajin dan berdedikasi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan yang dikuasainya kepada Yang Shi. Yang Shi juga tidak mengecewakan harapan gurunya itu. Dia akhirnya menjadi seorang ahli falsafah yang sangat berpengaruh dalam sejarah China.

Catatan Ketarangan:

Peribahasa "Cheng Men Li Xue", yang juga boleh disebut sebagai "Li Xue Cheng Men" ini bermaksud "berdiri di depan pintu rumah guru Cheng Yi dalam salji". Ia digunakan untuk memuji kesungguhan pelajar dalam menuntut ilmu pengetahuan serta kesantunnya dalam menghormati guru.

CRI

Tiada ulasan: