27 Mei 2010

Pimpinan Pakatan Rakyat PERAK: Terima kasih atas sokongan.

'Kami' semua bergambar kenangan bersama tetamu kehormat yang hadir sebaik selesai perbicaraan pada hari tersebut.

13 Jamadil Akhir 1431H.
http://ummuasiah2001.blogspot.com

Tengahari tadi sebaik selesai perbicaraan pada hari pertama yang bermula pada hari ini 26hb Mei, Peguambela Augustine berseloroh kepada saya yang saya pasti punya banyak cerita untuk dikemaskini dan dikongsi dalam blog pada hari ini.

Mungkin juga. Hari ini adalah satu hari yang lain dari yang lain. Kemungkinan 'kuasa' hari ini akan membekalkan tenaga untuk kami semua untuk terus bertahan dan bersemangat hingga akhir bulan Jun ini paling kurang.

Suasana pada hari ini bermula dari pagi amat ceria dari biasa. Kebiasaannya hanya 'kami-kami' sahaja. Tetapi hari ini kami didatangi oleh tetamu-tetamu kehormat dari pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Perak, mereka-mereka yang pernah memegang tampok kepimpinan Rakyat Negeri Perak (saya tidak suka menggunakan perktaan kuasa di sini).

Pimpinan Pakatan Rakyat yang pada tarikh 6-2-09 yang cuba dipertahankan kedudukan mereka memimpin Perak oleh 13 orang yang telah didakwa ini.

Ini adalah meja sarapan pagi kami semua setiap kali perbicaraan berlansung. Sebelum menuju ke Mahkamah, tempat ini menjadi tumpuan untuk kami semua bersarapan sekiranya ada masa yang mengizinkan. Pagi ini kami disertai juga oleh Saudara Sugumaran Periasamy yang merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran.

Turut serta bersarapan bersama kami pada pagi tadi ialah YB Drs Khalil Idham Lim ADUN Titi Serong yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Ramai lagi antara mereka yang turut hadir bersama pada hari ini. Termasuklah YB Chang Lih Kang ADUN Teja bersama 4 orang yang menyertai rombongannya. Saya sekeluarga amat rapat dengan YB Chang Lih Kang kerana beliau pernah menjadi Setiausaha Kerja Gerakan Mansuhkan ISA sebelum berpindah ke Perak pulang ke Kampongnya untuk membantu YB Lee Boon Chye.

YB Cik Leong Mee Meng ADUN DAP Jalong juga turut serta buat kali kedua. Kali pertama bersama kami pada bulan Oktober lepas. Gambar mereka tidak sempat dirakamkan bersama kerana mereka harus pulang lebih awal.

Alhamdulillah usaha kami semua mempromosi mengenai perjalanan kes ini ketika bertemu dengan YB Sivakumar dan yang lainnya minggu lepas di Pejabat SPRM Ipoh membuahkan hasil. Mereka mengotakan janji untuk bersama menghayati sendiri perjalanan perbicaraan kes yang sedang berjalan dan sudah berjalan sejak lebih setahun yang lepas.



Gambar di atas YB Sivakumar dijemput memberikan ucapan dan memberi motivasi kepada semua OKT. Ujarnya dari apa yang beliau ikuti perbicaraan ini berada di track yang betul, kejayaan pasti menjadi milik semua.

Saudara Sugumaran menyampaikan ucapan yang sungguh memberikan semangat kepada semua. Kelihatan juga YB Haji Zainuddin yang juga YDP PAS Padang Rengas.

Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussein.

Peguambela kami semua Tuan Haji Aminuddin dari PAS. Beliau bersama Augustine mengetuai team pembelaan bersama beberapa orang peguam yang lain antaranya Zambri, Yusnita, Ashwida dan juga Saleem Bashir. Memperuntukkan masa dan tenaga untuk kes ini tanpa sebarang bayaran. Saya salute mereka. OKT cuma perlu datang melabuhkan diri di kerusi mahkamah tetapi mereka yang perlu buat semua 'homework' mendengar, meneliti dan menyampaikan sepenuh hati.

Moga Allah membalas segala jasa baik anda semua dengan kebaikan di dunia lebih lagi di akhirat kelak.

Ustaz Asri menyampaikan ucapan mewakili 13 orang OKT. Menyatakan rasa terharu di atas sokongan yang diberikan oleh semua yang turut hadir. Di sebelahnya ialah saudara Zulhaizam yang teruk dibelasah oleh polis ketika menangkapnya.

3 orang OKT, Saudara Khairul yang ditangkap oleh polis selepas hampir dua minggu dari hari kejadian. Di sebelahnya Saudara Yusuf yang bertindak sebagai Bendahari bagi kumpulan OKT Kuala Kangsar. Beberapa hari selepas ditangkap dan dipenjarakan beliau telah 'diugut' oleh polis yang keluar mencarinya hingga beliau bersembunyi di dalam sebuah lubang dari waktu zohor hingga asar,

Paling depan ialah Saudara Faiz, masih belajar. Beliau mendapat tawaran untuk sambung belajar di Jordan namun setelah peguam membantu membuat representasi di Mahkamah, permohonannya untuk diberi pelepasan selama dua tahun tidak dibenarkan dan kini beliau menyambung pengajiannya di Kolej Swasta di Kedah.


Menjamu selera di waktu makan tengahari. Apabila ada tetamu yang hadir pasti ada yang membayar untuk kami semua makan. Rezeki. Alhamdulillah. Kebiasaannya pun sekiranya kami makan beramai-ramai di sini perbelanjaan makan minum kami akan dikeluarkan dari wang tabung simpanan OKT Kuala Kangsar.


'Kami' wanita yang sentiasa bersama. Berbaju Hijau di sebelah kiri ialah satu-satunya wanita yang didakwa. Beliau juga ditangkap empat hari selepas kejadian. Beliau ialah seorang ibu tunggal dan bekerja sebagai pencuci di Masjid Ubudiyyah. Namun disebabkan penangkapannya beliau telah dibuang kerja.

Alahmdulillah perbicaraan pada hari ini 26hb Mei berjalan dengan baik sekali walau sedikit terganggu dengan etika di dalam mahkamah yang perlu dipatuhi. Setiap orang yang masuk akan dihampiri oleh polis untuk menyerahkan kepada mereka untuk disimpan. Arahan untuk hanya letak di 'silent mode' atau dimatikan tidak boleh diterima pakai lagi. Bagi kami yang sudah biasa, tidak lagi dihairankan. Namun kesihan pada mereka yang baru datang lebih-lebih lagi bagi pihak ADUN-ADUN yang memang sibuk dengan tugas mereka.

Apa-apapun kita semua adalah warga yang menurut undang-undang walaupun kadangkala undang-undang dan garispanduan boleh digunapakai bergandingan dengan budi bicara.

Esok perbicaraan bersambung jam 10.00 pagi.

Tiada ulasan: