27 Mei 2010

Tabloid nafi tiada permit

12 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Ketua pengarang tabloid politik Kabar hari ini menyangkal kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyebut tabloid tersebut diterbitkan tanpa permit penerbitan.

Mat Zahari Ali (kiri) berkata permit bagi akhbar terbitan Damak Media itu diperolehi atas nama nama 'Kabar' bagi tempoh satu tahun bermula 28 Disember 2009.

Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa nama tabloid itu bukannya Kabar Era Pakatan seperti yang dilaporkan.

Sebaliknya, Mat Zahari berkata, "Era Pakatan" hanya merupakan motto bagi penerbitan tersebut dan perkara itu telah dimaklumkan kepada KDN melalui sepucuk surat bertarikh 29 April lalu.

"Kami sudah maklumkan kepada KDN bahawa 'Era Pakatan' itu hanyalah motto bagi akhbar kami. Kami tidak pula terima apa-apa surat daripada mereka, mengatakan perkara ini salah.

"Jadi, bagi kami, tidak ada masalah lagi. Tapi kami sangat dukacitalah apabila mereka bertindak merampas akhbar tersebut," katanya lagi ketika dihubungi.

KDN bagaimanapun bertindak merampas sebanyak 6,108 naskah akhbar tersebut, berdasarkan aduan awam dan laporan polis.

Mat Zahari bagaimanapun tidak yakin dengan alasan tersebut dan mendakwa tindakan rampasan itu dibuat atas "arahan pihak atasan."

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Mat Zahari berkata rampasan dan penyitaan yang dibuat tanpa sebarang notis itu sebagai "tindakan yang tidak profesional."

"(Ia juga) menimbulkan pelbagai keraguan serta menjejaskan kredibiliti kementerian tersebut.

"Kalau ada laporan polis atau aduan awam, KDN seharusnya datang menyiasat atau mengambil keterangan dari Kabar," katanya lagi.

"Sekiranya KDN tidak berpuas hati atau menyarankan supaya diubah saiz atau mana-mana yang tidak (memenuhi) kehendak KDN maka kementerian tersebut sepatutnya menghubungi pihak Kabar bagi memaklumkannya atau memberi surat peringatan atau amaran," katanya lagi.

Menyentuh soal motto Kabar, Mat Zahari berkata, KDN sepatutnya menyedari permit akhbar itu diperoleh untuk akhbar bernama Kabar, bukan 'Kabar Era Pakatan' yang sememangnya tidak dikeluarkan oleh kementerian itu.

"Lagipun motto sesebuah akhbar boleh dinamakan apa sahaja atau ditukar dengan apa nama sekalipun pada bila-bila masa kerana ia tidak terikat dengan penerbitan permit," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: