20 Mei 2010

Judi: Ekonomi negara amat terdesak?

5 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Malaysia dilihat seolah-olah terlalu terdesak dalam masalah ekonomi sehingga terpaksa berharap kepada perjudian sebagai sumber ekonomi negara, kata Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Mohd Idris Mohd Yussoff.

Sehubungan itu, tegasnya, Gamis mendesak kerajaan menarik balik lesen pertaruhan bola sepak sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan bermula bulan hadapan.

Beliau juga berharap agar Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam untuk campur tangan dalam tindakan tidak bertanggungjawab itu yang telah mencemarkan kesucian agama Islam.

"Dalam perbincangan tidak rasmi bersama Presiden Karisma, Abdullah Omar, kita merancang untuk mengajak rakan-rakan gerakan mahasiswa Islam dan front-front mahasiswa lain untuk bersama dalam bantahan ini.

“Kemungkinan kita akan membuat kutipan tandatangan mahasiswa bersama dengan memorandum yang akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyuarakan isi hati mahasiswa yang cukup kecewa dengan keputusan kerajaan ini," katanya lagi.

Gamis juga, katanya menyeru para agamawan, mufti-mufti, rakyat Malaysia yang cintakan Islam dan termasuk di kalangan mereka bukan Islam yang cintakan kesejahteraan negara untuk berani bangkit menyatakan bantahan ini agar kerajaan menarik balik pemberian lesen tersebut.

Bagi mahasiswa Islam, tegasnya membantah pemberian lesen pertaruhan judi itu kepada Kumpulan Berjaya Corporation kerana judi secara jelas sesuatu yang haram di sisi Islam.

"Dalam perkara yang sudah qat'ie (diputuskan) haram tanpa khilaf (perbezaan pandangan ulama) ini, tidak perlu lagi melihat kepada maslahah (kebaikan) yang cuba direka-reka untuk menghalalkannya,” ujarnya.

Menurutnya, hujah Timbalan Menteri Kewangan bahawa tindakan sedemikian untuk mengurangkan masalah pertaruhan haram daripada merebak tidak boleh diterima akal yang waras.

“Takkan kalau selepas ini kerajaan hendak mengelakkan pelacuran haram secara berleluasa, kerajaan wujudkan pula tempat pelacuran 'halal'?" katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tegasnya, Gamis berpendirian, pertaruhan itu bukan sahaja dibantah oleh mereka yang beragama Islam tetapi juga di kalangan bukan Islam yang bimbang akan menyebabkan masalah sosial di Malaysia semakin parah.

Menurutnya lagi, dalam demonstrasi aman di Masjid Kampung Baru pada minggu lepas misalnya, terdapat wakil bukan beragama Islam yang berucap untuk menyampaikan bantahan walaupun demonstrasi Jumaat lalu dihalang oleh pihak polis.

Sebelum ini, katanya kajian pernah dibuat berkaitan masalah 'ah long' di mana hasil kajian membuktikan, kebanyakan mereka yang terlibat meminjam wang daripada 'ah long' adalah kaki judi.

“Gamis memandang, pemberian lesen pertaruhan ini akan menambahkan lagi penyakit sosial di kalangan masyarakat Malaysia,’ ujarnya lagi.

Tambahnya, Gamis juga memandang, tindakan itu akan mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia terutamanya negara-negara Islam.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan agama, parti-parti politik serta orang perseorangan membantah selepas Menteri Kewangan secara rasminya pada 11 Mei lalu memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan Berjaya yang dimiliki Tan Sri Vincent Tan.

Sehubungan keputusan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak Piala Dunia yang bermula pada 11 Jun ini.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: