20 Mei 2010

Pemangku Raja K'tan sumbang RM100 ribu pada Ramli

5 Jamadil Akhir 1431 H

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra hari ini menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM100,000 kepada pengawal istana Kelantan, Ramli Mohamad yang ditembak oleh individu tidak dikenali pada 1 Mei lalu.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata sumbangan peribadi itu bertujuan meringankan bebanan keluarga Ramli, 50, yang mempunyai seorang isteri dan lima orang anak.

"Pemangku Raja Kelantan amat mengambil berat terhadap Ramli yang telah ditembak baru-baru ini dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu.

"Para doktor telah mengeluarkan peluru dari badan Ramli melalui pembedahan. Pada masa ini keadaan beliau agak kritikal dan mengikut maklumat yang saya terima terdapat jangkitan kuman kepada beberapa organ penting beliau," katanya kepada pemberita selepas melawat Ramli di HRPZ, di Kota Bharu petang ini.

Ramli parah ditembak oleh individu yang tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat pada kira-kira pukul 12.25 pagi 1 Mei lalu ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Pinang selepas selesai bertugas di istana, Kubang Kerian.

Halim berkata polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan dan Pemangku Raja berharap kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

"Kita berserah kepada pihak berkuasa dan kehendak-kehendak dalam perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Janganlah kita meletakkan undang-undang di tangan kita," katanya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Raziq Najab berkata...

Dapat berita sebentar tadi...
Al-Fatihah, semoga roh beliau di tempatkan bersama2 para syuhada... ameen.
Semoga ALLAH segera menghukum kepada mereka2 yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut!