20 Mei 2010

JUDI : Untuk Kalian Para Agamawan

5 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: HASANHUSAINI

"Kami mahu para Mufti menyatakan pendirian terhadap Isu Judi Bola Sepak", Teriak seorang pemimpin demonstran. Lantang suaranya dicorong mikrofon sebelum ala itu dirampas polis.

Di Mana Pendirian Majlis Fatwa? Tajuk artikel terpampang di dada akhbar elektronik.
Para pimpinan NGO pula tampil mendesak para pemimpin institusi agama tampil memberi pandangan dan menyatakan pendirian.

Pimpinan politik pula bermain dengan ayat-ayat mantiq mengajak manusia dan ummat berfikir. "Kalau arak di Hulu Selangor HARAM, kenapa Judi di BACHOK halal..? Sedangkan kalimah judi [maisir] mengekori kalimah arak [khamr] dalam ayat yang sama...?.

Saya seperti selalu, menulis untuk merungkai masalah dan puzzle rumit sebuah penipuan besar ini.

Di mana Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu besar syariat Islam ini....? Mana pula Mufti Kerajaan Negeri Perak yang selalu lantang...? Apakah ini yang menjadi masalah utama...? Muftikah yang bermasalah...? Atau ada otak lain yang lebih besar dan buruk masalahnya dari masalah para mufti dan segelintir ahli agama dewasa ini.
Berfikir. Terus menulis dan membelek sejarah.

Hujung 1990-an

Pada waktu itu, ada seorang mufti ikhlas kerana Allah tampil menegur maksiat dan membaik kerosakan dalam masyarakat dengan menegur kerajaan yang mengHALALkan pertandingan RATU CANTIK di Malaysia. Bayarannya, beliau dibuang dari menjawat jawatan mufti. Al-Fatihah untuk Al-Marhum.

MATANYA BUTA SEBELAH

Dajjal itu, matanya buta sebelah. Para pengikutnya juga dibutakan sebelah matanya. Buta mungkin pada zahir. Namun buta juga lebih dekat pada buta batin. Buta mata hati.

Manusia yang dibutakan mata hatinya akan gagal dari melihat kebenaran meski kebenaran itu berada di atas batang hidung mereka.

Membutakan sebelah mata [daya penglihatan dan pengamatan] manusia adalah kepakaran Dajjal. Melihat segala bentuk nikmat dalam kerangka materialisme. Semua benda dinilai pada satu sudut semata-mata. KEBENDAAN.

KECILKAH JUDI?

JUDI. Tanyakan siapa sahaja yang waras fikirannya, apakah hukum judi...? Pastinya kalimah haram akan keluar dari mulut yang ditanya. Kalaupun tidak haram, pastinya mereka tidak bersetuju untuk mengatak bahawa judi itu adalah satu amalan terpuji.

COMMON SENSE. Itu kata orang putih. Ma'lum min ad-deen bid-dharurah istilah dalam agama Islam. Semudah makan kacang untuk mahu mengetahui baik dan buruk judi. Justeru, kenapakah ianya dihalalkan...?

Matanya Sudah BUTA. Buta dari melihat judi pada sudut buruknya. Kenapa ARAK di Hulu Selangor buruk..? Kerana ada nilai material yang terselindung disebalik kemenangan ISU yang membawa kepada kemenangan KERUSI.

SURAH AL-KAHFI : UBAT JARUM BISA DAJJAL

Sabda Rasulullah sallallahualayhiwasallam :

Sesiapa yang membaca surah Al-kahfi sebagaimana ianya diturunkan, maka orang itu akan terpelihara dari tipu daya Dajjal. [Hadith]
Kenapa Surah Al-Kahfi?

Syeikh An-Nadwi dan Sayyid Qutb berpandangan bahawa, Surah Al-Kahfi membawa mesej yang cukup besar dalam memperbetulkan sistem pemanduan pemikiran manusia. LIHAT, FIKIR dan PERCAYA. Itulah intipati Surah Al-Kahfi.

Andai cara melihat salah, hancurlah cara berfikir, jahanamlah sistem kepercayaan. Iman tidak akan mendiami hati mereka yang salah cara melihatnya.

Apa beza Arak dan Judi...? Cara melihat.

Melihat dengan material akan menemukan perbezaannya. Arak HARAM di Hulu Selangor demi mendapat keuntungan. Judi HALAL juga untuk mendapat keuntungan.

PARA AGAMAWAN DAN ULAMA

Saya tidak berminat untuk mendesak kalian menyatakan pendirian terhadap isu Judi kerana pendirian kalian tidak akan memberi apa-apa makna. Keptusan yang diambil oleh mereka yang sukakan judi itu sudah cukup untuk membuktikan bahwa kalian tidak ada makna dan harga di mata mereka.

Andai kalian bertempik menyatakan judi haram sekalipun, hanya bagaikan anjing menyalak bukit. Tidak memberi apa-apa kesan. Mereka tidak akan melihat meski dengan sebelah mata!

Justeru, saya mengajak para agamawan sekalian untuk menyatakan pendirian terhadap mereka yang sanggup menukar dan mengubah-ubah hukum Allah. apakah masih patut untuk mengangkat mereka sebagai pemimpin kepada negara berbudi, luhur dengan budaya timur semurni Tanah Melayu, Malaysia...?

Itu lebih membuka mata mereka. ayuh para Agamawan, rakyat ramai menanti kalian.

2 ulasan:

Abu Hasan Chan berkata...

Menyebut fasal anjing , al-Qur'an memperingatkan :

..maka bandingannya adalah seperti anjing , jika engkau menghalaunya ia menghuhurkan lidahnya dan jika engkau membiarkannya , ia menghulurkan juga lidahnya ....{ Surah al-A'raf (7) : 176 }

Maksudnya orang yang tidak mahu bercakap tentang halal-haram kerana menjaga periuk nasi dan pangkat.

Al-Fursan berkata...

Bangga menjadi ahli usrah bersama seorang penulis matang. Teruskan menulis dan mendidik.