01 Jun 2010

RM39.5 juta atasi masalah bekalan air

17 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 31 Mei: Sebanyak RM39.5 juta bakal dibelanjakan oleh kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi menyelesaikan masalah gangguan air di beberapa jajahan di negeri ini.

Dalam tempoh dua bulan, beberapa penyelenggaraan baru yang melibatkan peruntukan itu akan dilaksanakan di loji dalam kawasan Bachok, Machang, Jeli dan Kota Bharu.

Projek berkenaan dijangka siap antara dua bulan dari sekarang dan sehingga akhir Oktober tahun ini.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebelum ini menggesa AKSB menyelesaikan masalah itu.

Tuan Guru dalam kenyataan memberitahu, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi menyelesaikan masalah tekanan air di kawasan terbabit yang dijangka akan selesai dalam tempoh dua bulan.

Katanya, gangguan air di Batu 30 telah diselesaikan dengan mengoperasikan satu pam di Loji Merbau Chondong.

“Manakala masalah di Kampung Pek, Kampung Raja, Kampung Kemucut dan sekitarnya, pihak AKSB akan memasang pam penggalak (in-line booster pump) bagi mengatasi masaalah itu.

Menurutnya lagi, bagi penduduk Jelawat dan kawasan sekitar, kerajaan negeri mencadangkan dua buah telaga lagi diwujudkan termasuk pemasangan dua pam yang dijangka dapat menambah dua juta liter bekalan sehari.

“Anggaran kos projek ini sebanyak RM200,000 di mana masalah air bagi kawasan Jelawat dapat diatasi dalam tempoh dua bulan akan datang.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, beberapa projek sedang dilaksanakan, iaitu projek menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) di Jeli dengan kos RM11 juta yang dijangka siap Ogos 2010 di mana ianya dapat memberikan kesan bekalan air bersih di seluruh Jajahan Jeli,”ujarnya.

Selain itu, projek naik taraf LRA Bukit Remah dan Merbau Chondong dengan kos RM15 juta yang dijangka siap akhir Ogos 2010.

Katanya, dengan siapnya projek itu, ianya dapat memberikan kesan kepada Pasir Puteh, Machang, Kok Lanas serta Kemubu dan Tanah Merah mengikut tempoh yang ditetapkan.

Jelasnya lagi, projek naik taraf LRA Chicha dengan kos RM13 juta akan memberikan kesan kepada sebahagian Kota Bharu, Bachok, Pengkalan Chepa serta Kemumin yang dijangka siap Oktober 2010.

Pada masa yang sama kerajaan negeri juga, ujarnya sedang meneliti beberapa cadangan segera yang lain untuk seluruh negeri Kelantan bagi mengatasi rungutan rakyat mengenai bekalan air.

Menurut Tuan Guru lagi, Kerajaan Pusat sedang meneliti cadangan membina satu benteng konkrit merintangi Sungai Kelantan untuk membolehkan paras air dapat ditingkatkan yang bertujuan untuk membolehkan beberapa pam utama sepanjang sungai itu mengepam air yang cukup.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: