25 Jun 2010

Bawa perjanjian dengan Singapura ke Parlimen sebelum setuju

11 Rejab 1431 H

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Kerajaan diminta memperincikan perjanjian antara Malaysia dan Singapura di Dewan Rakyat sebelum menandatangani perjanjian antara kedua-dua negara itu.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, adalah terlalu pelik untuk kerajaan Singapura bersetuju dengan Malaysia dalam banyak perkara kalau mereka tidak mendapat apa yang mereka mahu.

"Kita bimbang kerana isu ini sudah lama berlarutan tetapi hendak diselesaikan dalam masa tiga bulan oleh Datuk Seri Najib. Ini amat membimbangkan kita," kata Azmin (gambar) ketika ditemui para wartawan di bangunan Parlimen hari ini.

Media hari ini melaporkan kata sepakat yang dicapai antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dengan rakannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

Antaranya menyelesaikan isu pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura dalam tempoh tiga bulan.

"Kita nak tahu, kalau sudah bersetuju, apa yang dipersetujukan, apa pula yang kita nak serahkan. Kenapa tergesa-gesa mahu bersetuju?

"Ini kerana kita tidak mahu peristiwa hilangnya blog minyak L dan M di Sarawak kepada Brunei berulang kembali," kata Azmin.

Menurut beliau, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah mendesak agar ianya perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk diteliti sebelum apa-apa perjanjian di tandatangani.

Beliau berkata, pengalaman sebelum ini yang memperlihatkan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainudin berunding secara senyap-senyap dengan kerajaan Singapura tanpa pengetahuan beberapa kementerian tidak patut berulang.

"Ini kerana, menjadi amalan kita, bila menteri hendak pergi berunding dengan negara lain, dia akan bawa sekali pegawai-pegawai dari beberapa kementerian termasuklah kementerian kewangan, luar dan juga perdagangan," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: