25 Jun 2010

Pemuda PAS Perak gesa bebaskan segera Rakyat Malaysia yang ditahan di Mesir

11 Rejab 1431 H
Oleh: safarizal saleh

23 Jun 2010 (MANJUNG) - Pemuda PAS Perak hari ini telah menyerahkan bantuan kepada keluarga Muhamad Zulkifli Zakaria, 41, yang ditahan pihak berkuasa Mesir pada 13 Jun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Sumbangan telah diserahkan oleh Salman Saleh, Naib Ketua Pemuda PAS kepada isterinya Nurul Hidayah @ Icanna Lagago di rumahnya di Taman Samudra, Manjung sebentar tadi. Turut serta hadir adalah Safarizal Saleh, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak.

Kepimpinan PAS Lumut, Pemuda PAS Lumut dan juga Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pasir Panjang turut serta bersama. Sumbangan berupa kewangan dan juga keperluan harian telah diserahkan bagi meringankan masalah yang dihadapi.

Manakala pada hari yang sama juga di Kuala Lumpur, usaha pembebasan diteruskan oleh Pemuda PAS Perak yang telah diketuai oleh Mohd Munir Ali, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak telah menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Mesir.

Hadir sama ialah Raja Ahmad Al-Hiss, Setiausaha Pemuda PAS Perak dan juga Mohd Nazri Din, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Perak bagi membuat serahan tersebut.

Pemuda PAS Perak menggesa kerajaan Mesir mempercepatkan proses siasatan dan berharap hak beliau diberikan untuk mengetahui kedudukan sebenarnya kerana sehingga kini masih tidak mendapat maklumat rasmi daripada Kerajaan Mesir punca sebenar penahanannya.

Tiada ulasan: