08 Jun 2010

Judi: Wanita PR serah memo kepada Awang Adek esok

24 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Sekretariat Bantah Judi (Sendi) akan menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein di Parlimen, esok.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Salbiah Abdul Wahab, Sendi ditubuhkan hasil persidangan meja bulat yang disertai Wanita Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) minggu lalu.

Beliau berkata, penubuhannya bertujuan membela golongan sasar iaitu wanita, anak-anak dan keluarga yang akan menjadi mangsa akibat ketagihan pertaruhan judi oleh suami mereka.

Sebagaimana badan-badan lain yang menentang judi, katanya Sendi juga bertujuan menentang lesen judi sukan.

“Dan pada masa yang sama, selaku pimpinan wanita di Malaysia, Sendi memfokuskan sasaran utamanya adalah membela wanita, anak-anak dan keluarga yang kelak menjadi mangsa akibat ketagihan pertaruhan judi oleh suami-suami mereka.

"Di kala seluruh dunia bersorak gembira meraikan kemenangan pasukan bola sepak kegemaran mereka, jangan ada wanita di Malaysia yang teraniaya oleh angkara judi bola ciptaan Umno BN," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) mengubah tarikh penghantaran memorandum membantah judi bola sepak Piala Dunia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausahanya, Suhaizan Kaiat, berkata memorandum yang pada awalnya dijadualkan diserahkan kepada Najib esok di Parlimen dipinda kepada 15 Jun.

Katanya, sehingga kini sebanyak 22 badan bukan kerajaan (NGO) menganggotai GMJ bagi menyatakan bantahan dan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi tersebut yang dianugerahkan kepada Kumpulan Berjaya.

Menurutnya lagi, kemuncak bantahan tersebut ialah Himpunan 100,000 Rakyat Membantah Judi Sukan yang akan diadakan pada 3 Julai ini untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: