09 Jun 2010

Kalau stadium boleh runtuh, apa lagi loji nuklear?

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Christine Chan

Menteri Tenaga, Teknologi hijau dan Air, Datuk Peter Chin, hari ini diasak berhubung keupayaan kerajaan menjamin keselamatan orang awam sekiranya negara meneruskan hasratnya menubuhkan sebuah loji tenaga nuklear.

"Bagaimana kita pastikan stesen nuklear itu akan selamat, sedangkan stadium, masjid dan stesen bas yang kita bina juga runtuh?” soal ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng ketika sessi soal jawap di Dewan Rakyat.

Selain langkah-langkah keselamatan, Lim juga mendesak Chin supaya menjelaskan mengapa kerajaan tidak sebaliknya mengkaji kemungkin menggunakan sumber tenaga lain yang boleh diperbaharui.

Lim juga ingin tahu kos loji nuklear yang bakal diwujudkan pada 2021, lokasi dan impaknya kepada kawasan sekitar, serta langkah keselamatan dan kaedah pembersihan sisa nuklear yang akan dipraktikkan.

Mengenai lokasi, Chin berkata janakuasa itu dijangka dibina di Semenanjung berdasarkan permintaan elektrik yang tinggi di kawasan tersebut pasca 2020.

Bagaimanapun lokasi tepat bagi membina loji nuklear tersebut belum ditentukan, katanya.

Beliau berkata kerajaan akan mengguna pakai piawaian antarabangsa bagi menentukan lokasi loji janakuasa itu dengan mengambil kira ciri-ciri seperti kepadatan penduduk, alam sekitar dan keadaan geogologi.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan menggunakan khidmat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam memastikan peraturan berkaitan keselamatan loji dipatuhi jika ia dibina di negara ini.

"Justeru lesen tapak loji berkenaan hanya akan dikeluarkan setelah semua kajian dilakukan termasuk penilaian kesan alam sekitar dan radiasi," katanya.

Chin juga berkata rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan loji janakuasa nuklear memandangkan pelbagai proses penambahbaikan telah dilakukan kepada teknologi itu pada masa ini.

"Ia termasuk kebolehan menghentikan tugas rektor nuklear dalam masa yang cukup pantas iaitu dalam tempoh beberapa saat sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini," kata beliau.

Malaysiakini/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

x yah la kot bina loji ni..mcm x sedap hati je m'sia nk ada loji nie..cnfirm lps ni m'sia kna tuduh ada cubaan buat senjata nuklear mcm di iran..

Tanpa Nama berkata...

Lembap betullah...semua benda nak bangkang. Apa salahnya loji nuklear. Iran buat..sokong pulak. Bila negara sendiri nak buat...banyak soal pulak. Benda baik buatlah...benda tak baik bantah le. Itu pun kena ajar ke? Kalau nak jadi bangkang...carilah isu yang betul2 bagus punya. Kalau tak..jadile pembangkang yang diketawakan.

Penebang Gharqad berkata...

Apa kata kita syorkan kerajaan BN untuk bina loji nuklear di belakang rumah 'tanpa nama 6.45' memandangkan dia penyokong kuat penggunaan tenaga nuklear di Malaysia.

Tapi pada saya dari buat loji nuklear lebih baik kerajaan mewartakan satu mekanisma membolehkan panel tenaga solar dijadikan dalam bentuk bumbung rumah-rumah di Malaysia. Hasil dari tenaga yang diperolehi digunakan oleh pemilik rumah berkenaan, dan lebihan dari tenaga tersebut disalurkan di pusat pengumpulan tenaga yang bertindak membeli tenaga tersebut dan menjual kepada pihak-pihak yang memerlukan seperti industri, kegunaan awam dan pemilik rumah yang boros menggunakan elektrik. Ini memandangkan Malaysia mempunyai pancaran matahari hampir setiap hari dalam setahun.

Selain itu penyelidikan dapat dilakukan terhadap air longkang yang mengalir, yang ditadah disatu kawasan dan dialirkan pada saliran tertentu yang ditempatkan dinamo mini seperti penggunaan dinamo di empangan-empangan besar dengan syarat penyelenggaraan longkang di Malaysia adalah kelas A++. Selain penyelidikan terhadap paip-paip pengaliran air hujan yang mungkin dapat dibentuk bagi menjana elektrik ketika musim hujan.

Selain itu penjana elektrik juga dapat dijanakan melalui hentakkan pada sejenis alatan di lantai (yang diselidiki oleh seorang pelajar USA), mungkin melalui R&D, ia dapat digunakan di jalan-jalan raya di Malaysia (mekanisma hentakkannya adalah melalui hentakkan terhadap alat-alat tersebut dengan beribu-ribu kenderaan saban hari yang lalu lalang), selain di kawasan pejalan kaki.

Secara peribadi, Malaysia tidak perlu kepada penggunaan tenaga nuklear, cukup diwujudkan satu R&D yang dapat menyelidik penggunaan tenaga yang diperbaharui.