24 Jun 2010

Keluarga Altantuya dapat bantuan Mongolia

10 Rejab 1431 H
Oleh: Susan Loone

Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu akhirnya berharap mereka akan mendapat keadilan apabila saman sivil ke atas kerajaan Malaysia, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, dan dua pembunuhnya akan dibicarakan di mahkamah.

Bapa Altantuya, Setev Shaariibuu memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah mendapat pengesahan daripada kerajaan Mongolia bahawa mereka akan membayar RM70,000 sebagai wang jaminan dan kos perundangan sebelum kes itu dibicarakan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Mongolia yang meluluskan permohonan saya dan membuat keputusan berperi-kemanusiaan untuk membantu keluarga saya,” kata Shaariibuu dalam satu kenyataan melalui peguamnya Munkhsaruul Mijiddorj di Ulaanbaatar.

"Sekarang, saya bangga, anaknya mempunyai sebuah negara yang dipanggil Mongolia," katanya.

Pada Mac lalu, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, bersetuju mengurangkan jumlah kos sekuriti daripada RM1.25 juta kepada RM60,000, selepas mendengar permohonan daripada peguamnya di Malaysia, Karpal Singh.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zaleha Yusof bersetuju menetapkan jaminan sekuriti RM30,000 setiap satu bagi kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Permohonan jaminan kos ialah permohonan untuk plaintif mendeposit sejumlah wang kepada mahkamah sebagai jaminan untuk meneruskan prosiding saman mereka.

Kerajaan Malaysia yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Habibah Haron, dan Abdul Razak yang diwakili peguam KK Wong, sebelum ini memfailkan permohonan upaya keluarga Altantuya menyediakan jaminan kos kepada mereka sebanyak RM1 juta atau apa-apa jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah.

Dua anggota polis yang didapati bersalah dalam pembunuhan Altantuya April lalu - Azilah Hadri and Sirul Azhar - tidak meminta sebarang jaminan bon sekuriti.

Setev Shaariibuu juga perlu mencari RM10,000 bagi kos perundangannya, tetapi Karpal berkata satu tabung akan ditubuhkan.

Dalam pada itu, Shaariibuu juga melahirkan rasa penghargaannya kepada orang ramai yang bersedia menghulurkan bantuan.

"Mereka termasuk peguam Karpal Singh, wartawan, anggota pertubuhan hak asasi manusia dan juga rakyat Malaysia,” katanya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

munkin masih ada sisa-sisa keadilan di mahkamah malaysia