26 Jun 2010

Nik Aziz anggap isu JI gimik politik Umno

12 Rejab 1431 H
Oleh: Aslani & Atiff Idris

KOTA BHARU, 24 Jun: Sejak isu Jemaah Islamiah (JI) didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan namun sehingga kini belum kedengaran ada pihak yang ditahan pihak keselamatan.

Kenyataan polis mengusir 10 anggota JI dalam operasi yang dijalankan polis sejak awal tahun ini diragui banyak pihak memandangkan ia baru digegerkan sekarang.

Maka tidak hairanlah ramai menganggap isu JI sengaja diada-adakan setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) berdepan dengan banyak isu kronik termasuk lesen judi bola sepak dan kehadiran syarikat milik Yahudi di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berpendapat isu JI seperti sengaja dibuat-buat dalam kondisi politik sekarang.

“Ini kerana apabila Umno jatuh tidak ada peluang hendak naik semula. Ini kerana mereka bukan hendak jaga Islam sebaliknya mereka sendiri tolak Islam.

”Mereka tidak boleh kempen orang Melayu kena jaga Islam kerana mereka sendiri tolak Islam. Hendak jaga ekonomi, mereka yang menjadi punca ekonomi merudum,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Baru-baru ini Ketua Polis Negara mendakwa kumpulan militan, Jemaaah Islamiah warga asing dikesan menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrutkan remaja dan pelajar di institusi pengajian tinggi.

Ekoran kenyataan itu pelbagai pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap isu JI sengaja ditimbulkan sekarang kerana kerajaan BN cuba mengalih perhatian rakyat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau berkeyakinan isu JI yang digegerkan sekarang sekadar satu gimik politik pemimpin Umno setelah menyedari sokongan rakyat merosot.

”Tengok apa yang berlaku terhadap Allahyarham Nik Abdullah Arshad, Datuk Mahfuz Omar, Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim dan ramai lagi pemimpin pembangkang yang pernah ditahan di bawah ISA tanpa ada sebarang alasan munasabah.

”Mereka ditahan di bawah ISA hanya direka-reka kesalahan bagi menghalalkan kerajaan bertindak,” ujarnya.

Sementara itu Dewan Ulamak PAS Kelantan melahirkan rasa terkejut dan dukacita apabila ada pihak cuba mengaitkan nama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan JI.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata, situasi yang berlaku sekarang memperlihatkan kerajaan berada dalam dilema yang amat sangat sehingga terpaksa mencipta isu baru bagi mengalih perhatian rakyat.

”Tuduhan seperti ini boleh menjejaskan kewibawaan dan keilmuan seseorang. Begitu juga tenaga akademik di IPT cuba dibabitkan dengan isu tersebut sedangkan kerajaan tiada bukti bagi mempertahankan dakwaan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bersiap sedia lah kita utk menerima cerita babak kedua siri 'Al-Maunnah'......