26 Jun 2010

Raudhatus Sakinah bantu remaja bermasalah

12 Rejab 1431 H
Oleh: Wartawan Kita

KOTA BHARU, 24 Jun: Berita seorang pelajar meninggal dunia akibat pendarahan dan komplikasi keguguran di bilik penginapan sebuah resort di sini mengejutkan semua pihak.

Lebih malang lagi gadis itu menjadi mangsa pergaulan bebas, perbuatan zina sehingga mengandung luar nikah yang berakhir dengan kematian akibat pengguguran.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, gejala seperti itu berlaku kerana kurangnya pendidikan dan penghayatan agama.

Selain itu lemah jatidiri, pengaruh kawan dan persekitaran serta kurang mendapat kasih sayang dalam keluarga.

”Berdasarkan pengalaman membimbing remaja di Raudhatus Sakinah, sebuah pusat bimbingan dan perlindungan remaja puteri kami mendapati empat faktor terbabit menyebabkan remaja terjerumus ke kancah gejala sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini media melaporkan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Pasir Mas meninggal dunia akibat pendarahan dan komplikasi keguguran di bilik penginapan sebuah resort.

Sebelum itu pada bulan Julai tahun lepas seorang pelajar sebuah universiti juga dijumpai mati di bilik kediamannya dipercayai akibat komplikasi melahirkan kandungan luar nikah.

Dr Hafidzah berkata, Wanita JIM merasa sungguh kesal dan dukacita di atas kejadian yang berlaku itu.

Katanya, sampai bilakah situasi itu akan terus dibiarkan berlaku.

”Kami berharap semua pihak boleh memainkan peranan secara lebih berkesan untuk menghentikan penyakit sosial sehingga boleh menghancurkan keutuhan masyarakat dan negara.

”Apalah ertinya pembangunan fizikal dan kebendaan sesuatu negara jika tidak disertakan pembangunan insaniah merangkumi aspek emosi dan spiritual,” katanya.

Menurutnya juga Raudhatus Sakinah turut menyumbang kepada masyarakat melalui perkhidmatan pencegahan dan perawatan terhadap masalah gejala sosial.

Kata beliau dari aspek pencegahan pihaknya mengendalikan kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) dan Pakej Pendidikan Kesihatan Reproduksi Remaja.

Manakala dari sudut perawatan Raudhatus Sakinah membimbing remaja yang tersasar untuk kembali ke pangkal jalan.

Oleh itu katanya, remaja perempuan yang bermasalah boleh menghubungi pusat berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di talian 013 9964077.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: