23 Julai 2010

Himpunan Felcra mula terima tekanan

10 Syaaban 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Penganjur Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan Kali Pertama didakwa mula menerima 'tekanan' dari pihak pengerusan Felcra supaya membatalkan himpunan tersebut.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman memberitahu antara tekanan yang diterima termasuk mendesak mereka membatalkan program dan memberi amaran kepada warga Felcra agar tidak menghadiri program tersebut.

"Pegawai Felcra buat ugutan kepada Felcra tempat lain agar jangan pergi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Himpunan yang dijadual 1 Ogos ini bertempat di Felcra Bandar Seberang Perak (Changkat Lada) adalah anjuran Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman didakwa turut membuat panggilan telefon meminta program tersebut dibatalkan.

Penganjur bagaimanapun, menurut Mazlan tidak akan berganjak dan tetap akan meneruskan program tersebut.

"Kita tetap akan meneruskan program ini walau apa ancaman dan ugutan yang kita terima sekalipun," katanya yang juga pengerusi lajnah tersebut.

Hadir sama pada sidang media itu aktivis Felcra, Datuk Rameli Buyung dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felcra, Akmalluddin Mohd Noor.

Dalam pada itu, himpunan akan datang itu juga katanya akan digunakan sebagai medan meyebarkan maklumat berhubung penyelewengan Felda kepada rakyat.

"Kita akan lancar road show, kita akan cetak 200 ribu maklumat ini dan akan diedar rumah ke rumah warga Felda," katanya sambil memegang risalah empat muka surat bertajuk ‘Felda Bankrap?’.

Tindakan tersebut katanya bagi membuktikan dakwaan berhubung penyelewengan Felda yang dibuat anak sebelum ini bukan retorik dan main-main.

Minggu lalu, anak bersama beberapa wakil peneroka Felda dari Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah serta ahli jawatankuasa Anak termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar telah membuat laporan dakwaan penyelewengan dan salah urus Felda ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada malam hari yang sama beliau kemudian dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan berhubung laporan tersebut di pejabat SPRM Bandar Baru Serting.

Laporan SPRM tersebut dibuat berikutan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa kemerosotan rizab tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009 diguna kononnya untuk "kebajikan" peneroka.

Ahmad sebelum ini memberitahu RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bagunan baru Menara Felda.Bagaimanapun, Anak berpendapat banyak keraguan di sebalik penjelasan tersebut.

Menurutnya, antara dokumen tambahan yang diserahkan adalah berhubung dakwaan pecah amanah, salahguna kuasa dan penyelewengan, antaranya di Felda Sungai Buaya dan Gedangsa di Hulu Selangor dan Felda Lurah Bilut di Pahang.

Mengulas isu debat yang ditolak, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat sekali lagi memberitahu, menerima untuk berdialog seperti dikehendaki Ahmad dengan syarat ianya diadakan secara terbuka.

"Kita tak mahu isu yang penting yang perlu diketahui umum dibuat secara tertutup."Saya memang kesal dia menolak debat, pada saya kalau mereka tidak berani bermakna mereka mahu melindungi penyelewengan Felda," katanya.

Surat jawapan menerima dialog itu telah dihantar kepada Ahmad dan mencadangkan tarikh dialog dibuat pada 9 Julai di pejabat Felda Jalan Semarak.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: