23 Julai 2010

Saham: Lagi Umno hapus kuota Melayu

10 Syaaban 1431 H

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) amat kesal dengan tindakan kerajaan yang kononnya memperjuangkan nasib orang Melayu tetapi menghapuskan kuota 30peratus saham Bumiputera.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, dengan tindakan itu jelas yang Umno BN hanya beretorik sahaja dalam kata-kata mereka tetapi tindak tanduk mereka jelas ‘tidak serupa bikin’.

“Dan mengapa hanya akhbar berbahasa Cina sahaja yang mengeluarkan kenyataan ini. Mengapa tidak Utusan Malaysia, TV3 mengeluarkan artikel ini?” soalnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam satu wawancara eksklusif bersama Nanyang Siang Pau, yang disiarkan semalam.

Dalam wawancara tersebut, menteri yang menerajui Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta itu menegaskan bahawa kerajaan telah membuat penyelarasan, untuk melihat kuota 30% saham Bumiputera dari perspektif makro.

Kerajaan berharap Bumiputera yang mencakupi 60% populasi Malaysia, mampu menguasai sekurang-kurangnya 30% saham dalam ekonomi secara keseluruhannya, dan bukannya tertakluk kepada setiap syarikat, tambahnya.

Sehubungan itu, tegas Nasrudin, DPPP mendesak agar kerajaan mewujudkan semula kuota untuk Bumiputera kerana ia adalah hak orang Melayu.

“Jangan kerana perkiraan politik yang dangkal, kerajaan Umno BN menggadaikan hak orang Melayu. Kalau ini dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR), pasti Umno BN akan menuduh PR khianat orang Melayu tetapi yang ini bagaimana?” soalnya.

Katanya, setelah kenaikan harga minyak, pemansuhan bantuan biasiswa kepada pelajar Melayu, tanah rezab Melayu digadaikan, kali ini Umno BN menghapuskan pula kuota yang khas untuk orang Melayu.

Ini, katanya bererti bahawa tidak perlu ada saham Bumiputera dalam sesebuah syarikat yang mana akan membuka pintu seluas-luasnya kepada rakyat asing untuk memiliki sesebuah syarikat.

“Bukankah ini menutup ruang usahawan Melayu untuk bersaing?” tanya beliau lagi.

Sebelum ini, kata beliau sekurang-kurangnya kuota itu membolehkan usahawan Melayu mempunyai tempat dalam memastikan mereka dapat terus berdiri sama tinggi dengan syarikat luar.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

MELAYU LAGI..... BILA NK TUKAR MINDA KUNO.....