03 Julai 2010

Masjid Qingdao, Mutiara di Tepi Laut Kuning China

19 Rejab 1431H.


Bandar Qingdao, provinsi Shandong China merupakan bandar yang mempunyai pemandangan alam sekitar yang sangat indah, ini mungkin disebabkan kedudukan bandar tersebut yang berhampiran Laut Kuning. Bangunan-bangunan yang pelbagai rupa bentuk dibina di pesisir pantai. Ramai pelancong yang tertarik untuk tinggal di Qingdao selama beberapa hari semasa musim cuti.

Terdapat sebuah bangunan dengan ciri-ciri Arab di No. 562 Jalan Tong'an. Lima kubah yang berwarna hijau kelihatan berkilauan dalam cahaya suria. Terdapat dua buah menara azan yang kelihatan seolah-olah hampir menyentuh awan. Bangunan yang sungguh menarik perhatian itu ialah Masjid Qingdao yang diberikan reputasi sebagai mutiara di tepi Laut Kuning China.

Qingdao merupakan sebuah bandar raya pelabuhan antarabangsa walaupun ia hanya diwujudkan selama lebih seratus tahun sahaja. Umat Islam mula berhijrah ke Qingdao selepas landasan kereta api Jiaoji yang menyambungkan bandar Jinan dan bandar Qingdao mula beroperasi pada tahun 1904 yang menghubungkan Semenanjung Jiaodong dengan kawasan dalaman. Dua adik beradik He menguruskan perniagaan mereka di Shandong pada tahun 1928 dan akhirnya membina rumah mereka di Qingdao.

Mereka merupakan orang Islam etnik Hui yang terawal di Qingdao. Ma Fuxiang, raja perang di bahagian barat laut China yang merupakan seorang Islam etnik Hui yang berjaya menyandang jawatan datuk bandar Qingdao pada tahun 1929. Ramai di kalangan pengiringnya dan keluarganya yang juga penganut Islam berhijrah ke Qingdao. Dengan sokongan Ma Fuxiang, Imam Wang Wanying dan Mu Huating yang menjalankan aktiviti mengumpulkan wang derma sebagai modal untuk membina masjid bagi semua penganut Islam di bandar ini.

Mereka membeli sebuah bangunan seluas 888 meter persegi di Jalan Changzhou dan mengubahsuai bangunan tersebut menjadi sebuah masjid. Di tingkat atas masjid ini ialah dewan solat, manakala tingkat bawah dijadikan pejabat, bilik mesyuarat, kantin dan kemudahan-kemudahan lain. Masjid tersebut merupakan satu-satunya masjid di bandar Qingdao pada masa itu dan telah beroperasi selama hampir 80 tahun.

Pada asalnya masjid di jalan Changzhou itu ialah sebuah pejabat pos yang dibina oleh orang Jerman pada tahun 1889. Bangunan tersebut menjadi semakin usang setelah dimakan usia dan akibat perubahan cuaca. Perkara ini telah menarik perhatian kerajaan tempatan. Kerajaan bandar Qingdao membuat keputusan untuk membina semula masjid ini dan telah memberikan sumbangan sebanyak tiga juta yuan RMB.

Sementara itu, Beijing pula telah berjaya memperoleh kelayakan untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2008, maka Qingdao telah dipilih untuk menjadi bandar kerjasama Beijing bagi menganjurkan acara perlumbaan kapal layar dan papan luncur angin. Dengan peluang keemasan ini, kawasan seluas kira-kira 7 ribu meter persegi ini ditetapkan untuk masjid yang baru. Selain itu, beberapa persatuan lain seperti persatuan agama Buddha dan ajaran Tao juga turut memberi bantuan kepada Persatuan Islam Qingdao untuk membina sebuah masjid baru di Jalan Tong'an.

Masjid Qingdao siap dibina pada tahun 2006. Para jemaah bukan sahaja dapat melakukan aktiviti keagamaan dalam masjid yang moden dan baru ini, malah dapat menikmati masakan halal yang enak.

Kini, jumlah penduduk Islam mencapai 10 ribu orang di Qingdao. Ribuan restoran makanan halal terdapat di mana-mana sahaja di bandar tersebut. Semasa hari Jumaat, empat atau lima ratus orang jemaah dalam dan luar negara bersolat di masjid ini. Angka tersebut akan meningkat sehingga lima atau enam ribu orang semasa Hari Raya Adilfitri dan Hari Raya Adil Adha.

Beberapa orang imam muda di Masjid Qingdao mengambil konsep baru untuk menguruskan masjid tersebut. Mereka berusaha menyelaraskan agama Islam dengan masyarakat sekitar dan mendorong keharmonian masyarakat, agama dan pelbagai etnik. Untuk membantu umat Islam dan bukan Islam lebih mengetahui dan memahami tentang agama Islam dan orang Islam, mereka membuka laman web Yilanxiang (http://www.bdylx.com).

Selain itu, majalah mingguan "Remaja Muslim" diterbitkan setiap minggu. Sementara itu, ceramah khas akan diadakan sekali sebulan. Tokoh-tokoh terkemuka akan dijemput untuk menyampaikan ucapan semasa ceramah tersebut. CRI/-

1 ulasan:

Dr. Z menulis berkata...

Saya baru pulang dari Qingdao. Lawat Masjid ni. Berbanding dengan Beijing, saya rasa lebih berbaloi melawat Beijing. Kat sini agak mahal sikit. Senibinanya lebih western. Masjidnya pun tak ada senibina cina.