02 Oktober 2010

Presiden PAS rasmi Ijtima' Tarbawi malam ini

22 Syawal 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

MARANG, 1 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka akan merasmikan Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS, Peringkat Kebangsaan malam ini.

Persidangan tiga hari bermula petang ini bakal menyaksikan seluruh pemuda PAS berkampung di Masjid Rusila, Marang.

Selain pemuda, Ijtima' tersebut juga turut dibuka kepada muslimat PAS dan pendaftaran boleh dibuat sehingga lewat petang ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan yang tiba malam tadi di sini berkata, lebih 80 peratus persiapan telah disempurnakan dan bersedia menerima kedatangan peserta.

Biarpun program dijangka bermula selepas solat Maghrib petang ini, bahangnya sudah mula terasa dengan suasana khemah diperkarangan masjid siap dipasang.

Ianya ditambah pula dengan ribuan peserta yang sudah mula tiba seawal pagi tadi.

Mereka masing-masing tidak mahu ketinggalan mengikuti kuliah mingguan pagi Jumaat yang disampaikan Tuan Guru Presiden.

Selain itu, program malam ini akan dimulakan dengan Taklimat kepada peserta, bacaan al Ma'thuuraat dan solat Maghrib berjamaah.

Selepas itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengambil tempat memberikan Taujihat Tarbawi kepada semua peserta.

Manakala acara perasmian pembukaan oleh Presiden PAS dijangka pada jam 10 malam.

Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS kali ini akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Perasmian penutup akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: