08 November 2010

SIASAT SEGERA ISU KISDAR : PAS KUALA KANGSAR

1 Zulhijjah 1431,
PAS Kuala Kangsar.

PAS Kuala Kangsar melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan apa yang berlaku di Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) Kuala Kangsar. Artikel dan polemik di dalam laman web PAS Perak sekiranya benar maka ia membuktikan berlakunya kepincangan dan penyelewengan di dalam pentadbiran KISDAR. Sekiranya benar laporan dan dakwaan tersebut maka pengurusan KISDAR perlu menangani segera permasalahan yang berlaku, segala kepincangan pentadbiran dan salah tadbir urus perlu diperbaiki. Adalah tidak wajar pengurusan KISDAR terus menyembunyi dan menafikan permasalahan dalaman yang berlaku. KISDAR amat dekat dengan masyarakat Kuala Kangsar. Isu-isu seperti salah tadbir urus, salah guna kuasa, penyelewangan, permasalahan perjawatan, rasuah, dan skandal hubungan intim sekiranya benar amat memalukan sebuah Institut Pengajian Tinggi Islam dan mencemar nama baik KISDAR Sekiranya pengurusan KISDAR benar-benar jujur dan sungguh-sungguh untuk menyelesaikan permasalahan tersebut maka isu-isu tersebut perlu dilihat dan ditangani secara makro dan mikro. Selesaikan segera isu-isu tersebut sehingga ke akar umbi.

Antara isu-isu yang perlu disiasat oleh Kerajaan Negeri dan pihak yang berwajib ialah isu kenaikan pangkat pegawai Kontrak Gred 41 ke Gred 44 Tetap tanpa mengikut peraturan (‘by-pass’) arahan perbendaharaan (General Order), isu salah guna kuasa kelulusan kawasan balak, isu tindakan tatatertib keatas pegawai tanpa merujuk kepada jawatankuasa tatatertib, isu penafian hak ahli akademik dan pegawai tadbir untuk mendapat perjawatan yang sesuai dengan kelulusan dan pengalaman mereka, isu lambakan jawatan bertaraf kontrak dan sambilan dan lain-lain isu yang berbangkit.

PAS Kuala Kangsar dan warga Kuala Kangsar amat berbangga dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak kerana telah menempatkan KISDAR di Kuala Kangsar. Sebagai satu-satunya Institut Pengajian Tinggi Islam milik Kerajaan Negeri Perak maka rakyat Perak amnya dan masyarakat Islam khususnya meletakkan harapan yang tinggi kepada KISDAR untuk menjadi sebuah Institut Pengajian Tinggi Islam yang unggul bukan sahaja di negeri Perak bahkan diperingkat Nasional dan Antarabangsa. Negeri Perak telah melakarkan sejarah cemerlang dengan penubuhan dan pengembangan pelbagai pusat pengajian Islam, bermula dari pengajian pondok sehinggalah kepada pengajian peringkat menengah. Kewujudan KISDAR merupakan kesinambungan kecemerlangan Negeri Perak sebagai pusat pengajian Islam dirantau ini. PAS Kuala Kangsar amat yakin bahawa faktor tersebutlah yang menjadi asas penubuhan KISDAR yang telah genap usianya 11 tahun. Oleh itu sewajarnya seluruh warga KISDAR memahami dan menghayati hasrat dan harapan tinggi tersebut.

PAS Kuala Kangsar meminta Kerajaan Negeri Perak turut berusaha menangani permasalahan dalaman yang berlaku di KISDAR. Jangan sampai permasalahan tersebut menjadi barah dalaman yang kelak akan merosakkan KISDAR. Titah Tuanku Sultan Perak di dalam Majlis Konvokesyen Ke-4 KISDAR yang mahukan KISDAR dinaikkan taraf ke Kolej Universiti perlu direalisasikan oleh Kerajaan Negeri dan seluruh warga KISDAR. PAS Kuala Kangsar amat khuatir sekiranya permasalahan yang berlaku di KISDAR akan menggagalkan usaha yang sedang giat dilakukan untuk menaikkan taraf KISDAR kepada sebuah Kolej Universiti. Adalah tidak wajar sama sekali jika KISDAR hanya cantik dari sudut fizikal dan luaran semata-mata tetapi di dalam penuh dengan masalah dan krisis yang berpanjangan. PAS Kuala Kangsar juga amat khuatir sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan segera maka pelajar-pelajar akan menjadi mangsa, mangsa kepada fahaman dan amalan politik sempit yang jauh sekali menyimpang dari amalan dan budaya kerja berteraskan professionalisme dan keintelektualan.

Sekiranya benar isu-isu tersebut berlaku di KISDAR maka PAS Kuala Kangsar merasakan bahawa benarlah tanggapan yang menyatakan bahawa kerosakan sesebuah Institusi Pendidikan atau sesebuah organisasi adalah kerana campur tangan ahli politik secara rakus dan tidak bermoral dan warga institusi/organisasi melakukan tugas secara tidak professional. Justeru itu seluruh masyarakat Islam Kuala Kangsar mengharapkan agar KISDAR bebas dari campur tangan ahli politik secara tidak beretika dan KISDAR perlu juga dipimpin dan ditadbir oleh individu-individu yang berkeupayaan, berkelayakan dan professional. Moga-moga dengan ini KISDAR akan terus melangkah gagah, maju dan membangun bagi melahirkan generasi berilmu dan bertaqwa.

PAS Kawasan Kuala Kangsar

Tiada ulasan: