10 Disember 2010

Anwar jamin stabilkan PKR jadi keutamaannya

04 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menjadikan usaha untuk menstabilkan partinya sebagai keutamaan beliau sekarang ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada rakan twitter beliau Zaim90 yang membuat cadangan agar beliau memberikan tumpuan untuk menstabilkan PKR selepas berpendapat PAS dan DAP dalam keadaan stabil sekarang.

"Ya, ia menjadi keutamaan kami," kata Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh dalam twitternya.

"Saya tidak menyokong Umno-BN. Kita perlu perubahan. PAS, DAP dalam keadaan stabil, tetapi PKR tidak. Anda perlu perkasakan PKR secepat mungkin," tulis Zaim90 dalam twitternya kepada Anwar.

Pengakuan Anwar ini memberikan harapan kepada semua pihak untuk melihat parti-parti dalam Pakatan Rakyat bersiap sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka akan diadakan awal tahun depan.

PKR dilihat sedikit bermasalah apabila melalui proses pemilihan kepimpinan baru-baru ini. Ini kerana, sistem pemilihan terus yang dilaksanakan PKR itu adalah satu sistem yang baru dan terdedahkan kepada banyak kelemahan.

Aklibatnya, PKR kehilangan salah seorang pemimpin kanannya, Datuk Zaid Ibrahim apabila beliau keluar meninggalkan PKR kerana tidak berpuashati dengan sistem pemilihan terus itu.

Selain Zaid, PKR juga berhadapan dengan kritikan dari ahlinya yang lain. Terbaru, calon Ketua Angkatan Muda, Badrul Hisham Shahrin enggan menerima sebarang jawatan dalam PKR ekoran kekalahannya merebut jawatan itu.

"Saya tidak kecewa kerana saya tewas, kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia.

"Yang dibangkitkan ialah soal ketelusan bukan siapa kalah atau menang. Kita sering mempersoalkan ketelusan SPR namun apabila kita berdepan dengan cabaran yang sama kita gagal melaksanakan ketelusan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataannya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: