10 Disember 2010

Hampir 50% rakyat percaya gejala rasuah berleluasa

04 muharam 1431 H
Oleh:Aidila Razak

Hampir separuh daripada rakyat di negara ini yang dibanci dalam kajian mengenai rasuah antarabangsa berpendapat gejala rasuah semakin berleluasa di negara ini.

Mengikut Barometer Antarabangsa Rasuah 2010 oleh Transparency International, 46 peratus percaya amalan rasuah tahun ini adalah lebih tinggi daripada tahun lalu manakala 19 peratus berpendapat ia telah berkurangan dan 35 peratus lagi pula berkata keadaan tidak berubah.

Namun daripada 1000 orang yang dibanci oleh agensi pasaran TNS Malaysia dalam wawancara secara langsung daripada 28 Jun hingga 26 Julai tahun ini, hanya 9 peratus atau 90 orang mengakui telah memberikan rasuah sepanjang 12 bulan lalu.

Mereka mendakwa telah memberi rasuah kepada anggota polis atau mereka yang bekerja di tempat pemprosesan permit, tanah, perubatan, jabatan pendidikan negari, perundangan dan kastam.

Ini meletakkan Malaysia di tangga ketujuh daripada 22 negara Asia Pasifik yang dikaji dengan Korea Selatan mendahului senarai itu - hanya dua peratus rakyatnya yang diwawancara mengakui pernah memberi rasuah sepanjang setahun lalu.

Sebahagian besar rakyat Malaysia berkata pasukan polis paling terjejas dengan gejala rasuah dan diikuti dengan parti politik, badan perundangan dan parlimen.

Mereka mencatatkan mata 4.1, 4.0 dan 3.4 masing-masing pada skala 1 hingga 5, dengan 5 sebagai yang paling terjejas akibat rasuah.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: