08 Disember 2010

Berundur: Samy Vellu 'sudah terlambat'

02 Muharam 1432H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Biarpun bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur awal tiga bulan dari perancangan asal, namun ianya tetap dianggap 'sudah terlambat' untuk meyakinkan masyarakat India kembali semula kepada perjuangan parti itu.

Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Balendran berkata, Samy Vellu sepatutnya berundur sejurus Pilihan Raya Umum 2008 lagi jika mahukan semula sokongan masyarakat India.

Namun katanya, keadaan itu sangat sukar untuk berlaku sekarang ini kerana masyarakat India sudah selesa dan yakin dengan perjuangan Pakatan Rakyat itu sendiri.

"Dia (Samy Vellu) sepatutnya meletak jawatan lepas PRU 2008 lagi.

"Sekarang ini sudah terlambat apabila Pakatan Rakyat sudah meyakinkan masyarakat India dengan pentadbiran berkebajikan mereka di Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang," katanya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu juga, beliau yakin, pengunduran Samy Vellu itu tidak memberi banyak kesan kepada politik masyarakat India yang masih dibelenggu kebencian, bukan sahaja terhadap peribadi bekas Menteri Kerja Raya itu, malah juga kepada MIC itu sendiri.

Datuk G Palanivel yang menggantikan Samy Vellu sebagai Presiden MIC ke-8 pula katanya, masih dilihat dari kumpulan sama, dan masyarakat India pula tidak ramai mengenalinya.

"Masyarakat India secara umumnya tak kenal Palanivel.

"Palanivel mungkin akan tarik semula ahli MIC yang dulu, tapi saya yakin hanya sedikit akan kembali semula ke pangkuan MIC, itu pun atas sebab mahukan jawatan tertentu," katanya lagi.

Biarpun begitu, Pemuda DHPP katanya akan turun padang memberi penjelasan kepada masyarakat India untuk terus bersama Pakatan Rakyat menjelang PRU ke-13 yang disebut-sebut akan berlangsung tahun hadapan.

Mereka kini mensasarkan 60 parlimen yang ditandingi PAS yang berpotensi untuk menang pada PRU 13 nanti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Samy Vellu semalam yang melepaskan jawatan Presiden MIC kepada Palanivel setelah memegangnya selama 31 tahun.

Manakala setiausaha agung, Datuk Dr S Subramaniam pula dinaikkan pangkat menjadi timbalan presiden.

Samy Vellu, 74, pada mulanya akan terus memegang jawatan presiden sehingga bulan Mac 2012.

Bagaimanapun, terdapat gesaan supaya beliau berundur lebih awal dan menyerahkan jawatan itu kepada Palanivel untuk membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

MIC kalah teruk dalam pilihan raya umum 2008 yang turut menyaksikan Samy Vellu sendiri tewas di kubu kuatnya di Sungai Siput.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: